Khairy: Mengapa polis gagal tangkap Raja Petra

Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini bertanya apakah polis telah melakukan yang terbaik untuk menangkap penulis blog Raja Petra Kamaruddin, yang bebas bergerak secara terbuka di kota London.

"Apakah mereka tidak sedar atau mereka memilih untuk tidak tahu pergerakan dan lokasi RPK?," tanya Khairy dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.

"Minggu lalu, dia memberi ucapan di majlis pelancaran Friends for Pakatan Rakyat (FoPR) di London. Siaran akhbar mengenai acara tersebut dikeluarkan dua hari sebelumnya, yang menyenaraikannya sebagai penceramah," katanya.

Ini, tegasnya, diketahui umum dan oleh mereka yang melayari internet dan bukannya maklumat rahsia dari Interpol yang sukar untuk memperolehinya.

Raja Petra secara terbuka berucap di majlis Pakatan di London semalam yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang.

"Mengapa mereka tidak boleh menangkapnya? Mengapa tidak ada tindakan dari polis?" soal Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno.

Khairy berkata, beliau bingung dengan keadaan itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah meminta polis supaya menangkap Raja Petra.

Khairy juga bertanya-tanya mengapa ketua polis negara masih satu langkah di belakang dalam menyiasat tempat persembunyian Raja Petra dan siapa yang membantu menyembunyikannya, sedangkan penulis blog itu bebas bergerak di khalayak ramai.

Tambahnya, jika mereka tidak dapat menahan Raja Petra di London kerana kurangnya bidang kuasa, polis harus manfaatkan hubungan baik antara polis Malaysia dan Scotland Yard, ibupejabat polis metropolitan London, untuk membawanya kembali.

Raja Petra menghadapi tuduhan menghasut dan fitnah, tetapi dilepaskan tanpa dibebaskan apabila waran tangkap gagal diserahkan kepadanya.
Berita asal

Tiada ulasan:

Catat Ulasan