Kita tidak akan mendokong biawak hidup dengan babi hidup - Tuan Ibrahim.

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 19 Julai:
PAS bukan sahaja menolak malah tidak melihat sebarang keperluan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno biarpun pelbagai pendekatan mahu digunakan pemimpin parti pemerintah itu.

Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mempelawa orang tengah dalam menjayakan kerjasama Umno-PAS sebagai pelik dan sia-sia.

"Kita dah tutup fail untuk kerjasama dengan Umno dan tak timbul lagi isu ini.

"Guna orang tengah ni menunjukkan Umno kritikal sungguh", katanya kepada Harakahdaily.

PAS jelasnya hanya bersetuju bekerjasama atas semangat faderalisme antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri pakatan rakyat atau "Goverment to Goverment".

Ianya seperti isu tuntutan royalti, gran perkapita tahunan kepada kerajaan Kelantan dan juga sekatan dan serangan bertali arus terhadap negeri pakatan rakyat lain termasuk Kedah dan Selangor.

Dalam konteks itu jelasnya, PAS tidak melihat kenapa orang tengah perlu digunakan.

"Yang kita setuju adalah kerjasama kerajaan dengan kerajaan atas sifat faderalisme.

"Selesaikan masalah negeri yang sudah lama tertunggak. Saya pelik kenapa G to G pun kena guna orang tengah," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Lebih menimbulkan persoalan jelasnya, kenapa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dicadangkan menjadi orang tengah untuk kerjasama G to G tersebut.

"Saya pelik kenapa mufti Perak dicadang jadi orang tengah, sedangkan dia cenderung kepada kerjasama politik PAS-Umno yang kita memang dah tolak," soalnya pula.

Semalam, Muhyiddin dalam kenyataannya mempelawa mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam merialisasikan kerjasama PAS-Umno.

Beliau mempelawa bekas mufti atau mufti Perak sendiri berbuat demikian.

PAS bagaimanapun tetap berpendirian menolak sebarang bentuk kerjasama politik selain atas semangat Faderalisma G to G.

"Prinsip Islam, tolong menolong dalam perkara baik dan taqwa, tapi dalam Umno segala macam kemungkaran ada.

"Kita tidak akan mendokong biawak hidup dengan babi hidup," tegas Tuan Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan