Kumpulan dakwah dianggap berdosa, Umno bagaimana

Mohd Dzul Khairi
Tahniah kepada Jabatan Akidah Universiti Malaya yang telah berjaya mengadakan Seminar Pemikiran Islam baru-baru ini. Bagaimana pun, saya memiliki pandangan tersendiri dalam bab ini. Saya ingin mengucapkan tahniah terlebih dahulu kepada guru saya, Prof Madya Kamil Abd Majid, Dr Khalif Muammar, Dr Fauzi Zakaria dan Dr Lokman atas pembentangan yang menarik.

Saya merumuskan pandangan saya dalam bentuk sebegini:

1. Tiada guna untuk mengambil sikap suka menyalahkan pandangan orang lain. Golongan ekstremis kalangan Asya’irah suka mengkafirkan kumpulan ‘wahhabiyyah’ dan begitulah sebaliknya. Ia langsung tidak membina ummah bahkan merosakkan perpaduan sesama umat Islam.

2. Pemikiran sebegini sudah mula menular kalangan anak muda yang masih terlalu cetek ilmu. Lalu, apabila mereka mempelajari sebuah dua kitab, mereka terus berani mengkafirkan ulama-ulama besar termasuklah Tuan Guru Nik Aziz. Pemikiran dan budaya mereka bukan sahaja tidak membangun bahkan meruntuhkan Islam. Mereka sangat suka mengkafirkan al-Qaradawi yang sudah terlalu banyak berjasa kepada umat Islam sedangkan mereka masih teraba-raba dalam kegelapan.

3. Kumpulan anak muda ini sangat gemar untuk menuduh dan menyerang kumpulan dakwah. Hanya ada satu dua silap kumpulan dakwah namun tuduhan mereka sangat besar seolah-olah kumpulan dakwah telah melakukan satu dosa yang teramat besar. Namun yang menariknya, mereka tidak berani pula untuk menyatakan apakah status Umno pada pandangan mereka.

4. Seminar ini akhirnya tidak membawa impak yang sangat besar kepada perkembangan dan keutuhan akidah di Malaysia. Ia tidak lebih ingin mempertahankan akidah Asya’irah dan menuduh kumpulan selain mereka, tetapi mereka tidak membincangkan bagaimana untuk menyelamatkan akidah anak muda Malaysia sekarang. Lalu seorang Imam menggelengkan kepala apabila mengikuti seminar ini kerana beliau tidak mampu membawa sesuatu yang sangat bermakna kepada masyarakat.

Saya tidak memusuhi seminar tersebut, jauh sama sekali. Ada beberapa pembentangan sangat menarik seperti mana nama-nama pembentang yang saya nyatakan. Namun ada beberapa kertas kerja lebih bersikap menghukum dan tidak mendatangkan penyelesaian yang efektif. Mereka lebih suka untuk membincangkan ayat-ayat mutasyabihat yang sudah lama dibincangkan oleh ulama terdahulu. Bagi saya, apa guna memanjangkan perselisihan yang sudah lama berlaku.

Daripada membincangkan soal Allah, apakah tangan dan wajah Allah, lebih baik kita membincangkan apakah perintah Allah kepada kita. Allah tidak pernah menyuruh kita membincangkan tentang zatnya, sama ada tangan membawa maksud kiasan atau tidak, tetapi Allah menyuruh kita melakukan dakwah, amar makruf dan mencegah kemungkaran, memerangi rasuh dan riba, mengangkat orang beriman sebagai pemimpin dan menyebarkan kesejahteraan kepada ummah.

Sudah ramai pelajar yang masih muda, hatta yang baru menginjak usia 13 tahun yang bacaan al-Quran masih terangkak-rangkak tetapi sudah berani menghukum ulama termasuk Imam al-Syafie. Apa yang mereka dapat? Populariti? Begitu juga sesetengah kumpulan pondok yang jumud, yang suka mengambil pendekatan menyalahkan ulama yang terlibat dalam politik sedangkan mereka hanya tenggelam dalam dunia pondok dan kejumudan semata-mata.

Begitu juga golongan yang beranggapan mereka aliran al-Quran dan hadis, terlalu suka menuduh dan mendakwa pendekatan mereka terbaik. Akhirnya, budak mat rempit dan penghisap ganja terus berada dalam kegelapan dalam kebutaan orang yang mengaku berilmu agama.

Beberapa golongan mendakwa dakwah nabi bermula dengan akidah. Jadi, lupakan politik dan lain-lain, perkukuhkan akidah. Jika benar ini yang mereka perjuangkan, saya mahu mencadangkan beberapa perkara. Jika benar kalian mahu mengikuti nabi dengan membentuk akidah terlebih dahulu dan melupakan dakwah, maka pedulikan soal arak, judi, riba, bukalah aurat, kerana nabi tidak pernah memperjuangkan perkara tersebut sepanjang berada di Madinah. Saya tergelak apabila seseorang berkata kepada kawan saya, “Ustaz, sekarang ni kena teguhkan akidah dulu, pedulikan soal dakwah”. Anda hukumlah pemikiran ini sendiri.

Kumpulan yang berani mengkafirkan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi ini, mereka hanya berani bercakap sahaja. Jika kita meminta mereka untuk mengkafirkan PM Najib, pasti mereka tidak berani. Kerana PM ada kuasa sedangkan dua orang Tuan Guru tadi tiada kuasa. Namun sekarang seolah-olah Tuan Guru yang memiliki sebahagian pemikiran ‘kaum muda’ kononnya dianggap sangat berdosa jika dibandingkan dengan orang yang menganut aliran sekularisme dan liberalisme.

Saya di peringkat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama akhirnya ingin mencadangkan agar lain kali dibincangkan bagaimana menerapkan akidah yang utuh kalangan Rakyat Malaysia yang terjebak dengan banyak gejala hitam, bukan lagi menyibukkan diri membincangkan tentang zat Allah, Ibn Taymiyah dan Imam Ghazali lagi. Mereka sudah meninggalkan kita dengan jasa yang banyak sedangkan kita belum tentu lagi kedudukan di sisi Allah.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor,
Ketua Syubban Persatuan Ulama Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan