Program yang dinamakan LayaRakyat ini bakal fokus di tapak pasar malam kawasan luar bandar dalam negeri Selangor. Tumpuan lokasi pertama adalah di pasar malam Daerah Sabak Bernam, mulai 6 sehingga 24 Julai, jam 7 malam hingga ke 9 malam.
Pihak urusetia akan menayangkan video di atas layar putih mengenai dasar kerajaan negeri dan membuka kaunter pendaftaran serta penerangan program Merakyatkan Ekonomi Selangor, khususnya Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas dan Hadiah Anak Masuk IPT.
“Kaedah ini membolehkan maklumat dasar kerajaan negeri disampaikan kepada masyarakat umum dengan tepat dan cepat, serta menggalakkan orang ramai mengambil bahagian secara aktif dalam setiap program kebajikan yang dijalankan,” demikian kata Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Baharom ketika melancarkan projek LayaRakyat di pasar malam Sungai Besar pada Selasa lalu.
Badrul juga memaklumkan, bagi pendaftaran Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kini telah membuka syarat baru kepada kelahiran sempadan di mana bayi yang lahir disempadan seperti Selangor-Perak, Selangor-Negeri Sembilan dan Selangor-Wilayah Persekutuan serta ibu bapa bermastautin selama 5 tahun di daerah yang bersempadan Selangor layak memohon bayi mereka.
Kata Badrul, Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim amat prihatin terhadap kebajikan rakyat Selangor. Pelbagai program rakyat telah dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, khususnya golongan miskin, di mana hasil negeri dapat dinikmati oleh rakyat.
“Oleh itu program LayaRakyat turun ke padang bertemu dengan rakyat agar rakyat dapat memahami dasar-dasar kerajaan negeri dengan baik. Program ini akan dilaksanakan secara berterusan di daerah-daerah lain selepas ini,” sambung Badrul.
Badrul berharap agar rakyat dapat memberikan sokongan berterusan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan