Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah

Harakahdaily
TEMERLOH, 21 Julai:
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

"Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (Mufti) dan kepimpinan Umno," tulis Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan Melayu ini; sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam.

Menurutnya, pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini.

“Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan Umno,” katanya.

“Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam. Kalau perpaduan bangsa; kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara. Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara,” kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah pengajian Islam UITM itu.

“PAS Menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

“Lantaran itu PAS lebih rela melayu berpecah dalam mentaati perentah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah,” kata beliau.

PAS, katanya, tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh Umno.

“Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan, serta pelbagai penyelewengan. Di saat rakyat tenderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS,” tambah beliau.

Katanya, di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang melayu Islam.

“Umno membelakangkan soal perpaduan; kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri mengholor perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri.

“Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju,” katanya.

Rakyat miskin, katanya, terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers).

Syarikat konsesi tol pula tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa.

“Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar spt penyerahan Blok L,M kepada Brunei, Tanah KTM di Singapura, Isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala social yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar; bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini,” tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan