MCA belum bersedia hadapi pilihan raya umum

MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar, belum bersedia untuk berdepan pilihan raya mengejut, sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan akan datang, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata MCA masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan krisis dalaman yang berlarutan selama setahun setengah, sambil menambah beliau memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk menstabilkan semula parti.

Dalam satu temu bual, Dr Chua berkata parti itu perlu memastikan wujudnya 'perpaduan dalam keazaman', terutamanya daripada segi mencapai 'agenda politik kita bersama'.

"Dalam politik, saya telah belajar untuk menerima hakikat bahawa tiada yang mustahil (mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan tidak lama lagi) tetapi, jika anda tanya saya, saya berpendapat itu tidak mungkin," katanya ketika diminta mengulas spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Sebelum berdepan pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan pada 2013, Dr Chua berkata BN perlu terlebih dahulu melakukan beberapa perubahan kepada konsep perkongsian kuasa sekarang untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Dr Chua, yang mengambil alih kepimpinan parti tahun ini, berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan yang BN tidak membuat pembaharuan, namun menambah perubahan itu dilihat sebagai kecil dan lebih banyak penambahbaikan diperlukan.

Ditanya sama ada BN akan melakukan perubahan secukupnya sebelum tiba pilihan raya umum akan datang, Dr Chua berkata beliau sesungguhnya percaya bahawa Najib mempunyai iltizam politik untuk melakukan perubahan itu.

Ditanya sama ada kerajaan perlu melayan semua permintaan parti dan kaum Cina dalam usaha memenangi semula sokongan kaum berkenaan, Dr Chua menjawab "ya" dan "tidak".

Beliau berkata situasi politik di Malaysia adalah kompleks, dan menjadi naif politik untuk memikirkan bahawa pakatan pembangkang akan memenuhi semua jangkaan dan keperluan kaum Cina sekiranya mereka berkuasa.

"Sebuah kerajaan yang berkuasa perlu menyeimbangkan keperluan semua kaum. Kerajaan BN perlu dilihat bersikap adil dan demokratik. Keputusan yang dibuat perlu lebih telus dan boleh diterima rakyat," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak seharusnya hanya bercakap mengenai perkara yang betul sahaja tetapi mesti turut melakukan perkara yang betul, dan dengan berbuat demikian, ia akan berupaya memenangi sokongan masyarakat majmuk di negara ini.

Mengenai pemilihan parti tahun depan, beliau berkata pemilihan itu akan diadakan melainkan badan pembuat keputusan parti itu yang sangat berkuasa, memutuskan sebaliknya.

MCA lazimnya mengadakan pemilihan parti sekali dalam tiga tahun -- daripada peringkat cawangan, bahagian sehinggalah kepada kepimpinan pusat. Selepas pemilihan parti pada 2008, pemilihan seterusnya sepatutnya diadakan pada 2011 namun dibuat lebih awal, iaitu pada Mac tahun ini, ekoran krisis dalaman parti yang berlarutan.

"Ia (pemilihan parti) harus diadakan tahun depan kerana kita tidak tahu bila pilihan raya umum akan diadakan... melainkan CC (Jawatankuasa Kerja Pusat) memutuskan sebaliknya (tidak mengadakan pemilihan parti)," katanya.

Mengenai sama ada parti akan akan memperkenalkan pemilihan presiden secara langsung seperti yang dirancang oleh Umno, Dr Chua berkata kebanyakan anggota parti itu tidak bersetuju perubahan dilakukan disebabkan kesuntukan masa.

"Jika anda melakukan perubahan kepada sistem pemilihan parti, anda memerlukan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 bulan memandangkan anda perlu mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) dan kemudiannya mengemukakan perubahan itu untuk kelulusan ROS (Pendaftar Pertubuhan).

"Ada juga yang berpendapat kami tidak sepatutnya beralih tumpuan untuk membincangkan sistem pemilihan parti yang baru, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan