Merindui welfare officer zaman dulu kala

A Kadir Jasin
SAMBIL kita terus menonton, berhibur dan berbincang mengenai Piala Dunia, janganlah kita lupa bahawa di luar sana banyak cerita sedih dan duka seperti cerita keluarga Yusuf Wahab yang tinggal di rumah yang diubahsuai daripada reban ayam.

Apa yang kerap terjadi ialalah, apabila media massa menyiarkan berita kemiskinan, kemelaratan dan kekejaman, saya akan bertanya diri sendiri, tidakkah pegawai, jabatan, menteri dan kementerian sedar wujudnya kepapaan harta benda dan moral yang memalukan ini?

Kenapa pegawai, jabatan, menteri dan kementerian heboh atau nampak heboh hanya bila kemiskinan, kemelaratan dan kekejaman dihebahkan oleh media massa?

Di manakah pegawai kebajikan daerah apabila keluarga lima orang di Kampung Pauh Dal, Pengkalan Chepa, Kelantan tinggal dalam rumah robek yang asalnya reban ayam selama tiga tahun dengan pendapatan RM350 sebulan.

Akhbar New Straits Times semalam ini melaporkan Yusuf Wahab, 35, seorang pemandu lori yang memperoleh RM350 sebulan tinggal bersama isterinya Fatimah Jalin, 36 dan tiga orang anak Nur Atikah, 6, Mohd Haikal, 5, and Mohd Aiman, 3 dalam keadaan yang amat memilukan.

Kalau pegawai kebajikan daerah, wakil rakyat dan parti-parti politik buat kerja, tentu tragedi seperti yang ditanggung oleh keluarga Yusuf Wahab ini tidak berlaku.

Baru-baru ini saya dijemput menyertai bengkel Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) mengenai ketelusan dan dasar afirmatif yang mesra perniagaan. Dalam bengkel itu, wakil Kementerian Kebajikan (lebih baik Kementerian Kebajikan daripada nama glamor macam pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) memberitahu ramai orang miskin dan orang cacat yang hidup dengan pendapatan RM250 sebulan atau paling banyak RM450 hasil bantuan jabatan itu.

Kalau benar cerita derita mereka dan pegawai kebajikan daerah, wakil rakyat serta parti-parti politik buat kerja, keluarga ini layak dipertimbangkan untuk bantuan di bawah skim bantuan kanak-kanak (BKK) kerana pendapatan bulanan keluarga kurang daripada RM750 sebulan. Atau boleh diberi geran perniagaan (GP) kerana si isteri membuat kuih untuk dijual.

Mohon maaf kalau saya sekali lagi nostalgik. Nostalgia ada baiknya kalau kita mengambil iktibar. Zaman saya kanak-kanak dan semaja dulu, kemiskinan dan kemelaratan adalah kebiasaan.

Ada yang miskin sepanjang masa dan ada yang miskin berwaktu. Ada yang miskin hingga tidak ada beras untuk makan hatta sekali sehari. Bila kemarau berlarutan atau harga getah merudum, kemiskinan berleluasa di kalangan petani dan penoreh harga getah kerana mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Hatta ubi gadung yang berpotensi membunuh itu pun diproses sehingga boleh dimakan. Sekarang berapa ramai yang tahu mengenai ubi gadung atau pernah makan ubi gadung. Pada waktu itu, kalau makan ubi gadung, memang miskin yang menghampiri kebuluran.

Dalam suasana sebegitulah, sedekah, peri kemanusiaan dan kejiranan menjadi penyambung hidup. Secupak atau sekepol (kepoi, kata orang Kedah) memisahkan antara kelaparan dengan perut yang terisi.

Pada waktu sedemikianlah, welfare officer menjadi manifestasi terunggul sikap ambil peduli pemerintah terhadap rakyat jelata. Welfare officerlah yang diingat dan dicari apabila musibah menimpa.

Dan welfare officerlah yang paling kerap turun padang dan masuk kampung bertanya khabar dan mencari orang susah, diikuti pegawai pengembangan Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan pegawai tanam semula (kini Risda).

Sekarang, macam pegawai-pegawai lain dalam birokrasi raksasa yang setiap hari minta naik gaji, mereka lebih selesa menghadiri seminar dan bengkel, beristirahat dalam bilik hawa dingin atau menyambut pegawai kanan dan menteri. Turun padang tidak lebih daripada klise.

Kesedihan dan ratapan pun tidak lama dan umumnya untuk pameran saja. Masih segar di ingatan saya Menteri Kebajikan sekarang begitu terkejut dan tersentuh dengan kemiskinan yang berleluasa di daerah kelahiran saya, Pendang, ketika dia berkempen pilihan raya kecil Parlimen pada tahun 2002.

Maaf cakap, inilah sifat dan sikap pemimpin elit dan kelas atasan yang tidak pernah merasa kemiskinan apatah lagi menderita kelaparan. Mereka melihat, tetapi tidak merasa. Justeru itu, simpati mereka tidak kekal lama. Lapar puasa tak aci, sebab bila berbuka, hidangan melimpah meja.

Realitinya, kalau ramai yang miskin dan melarat di Pendang pada tahun 2002, apakah keadaan mereka lebih baik sekarang sedangnya ekonomi dipukul teruk oleh krisis ekonomi dunia sejak tiga tahun lalu?

Sebaliknya, sejak krisis kewangan Asia 1997/98, pertumbuhan ekonomi kita jauh lebih lembap daripada sebelumnya.

Yang menjadi tanda tanya, adakah cukup bagi para mamanda menteri dan pegawai tinggi bertindak balas dengan mengatakan mereka terkejut?

Itulah reaksi spontan Menteri Kebajikan, Shahrizat Abdul Jalil, kepada pendedahan NST dan macam itu jugalah reaksi seorang menteri keturunan aristokrat ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini.

[Yesterday, Women, Family and Community Development Minister Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil visited the family and donated some food supplies.

The Wanita Umno head said she was shocked with their condition and promised that they would be moved to a proper home with the help of the Welfare Department. – NST.]

Sampai bila para mamanda menteri dan pegawai tinggi pemerintah hendak memberi reaksi terkejut, tidak sangka, tidak dimaklumkan, akan disiasat atau belum muktamad?

Semua ini sudah menjadi klise yang tidak bermakna lagi, malah mula menyakitkan hati.

Di saat-saat pemerintah menguar-uarkan 1Malaysia; rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, bolehkah kita bersatu dan berpadu kalau yang kaya hidup ibarat maharaja manakala yang miskin hidup ibarat hamba abdi di zaman purba?

Saya ulangi hujah saya yang lalu: "Tidak ada negara boleh dianggap bertamadun dan sejagat jika bangsa dan kaum majoriti tertindas dan terpinggir. Keamanan dan toleransi tidak wujud dengan sendirinya." Yang ramai miskin adalah Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan