Pengalaman awal pembedahan pintasan jantung

Ahmad Lutfi Othman

Tulisan ini mahu bermula dari mana, ya? Tentang rawatan dari pembedahan pintasan jantung yang kian pulih? Itu mungkin terlalu personal dan tidak ada elemen kepentingan umum. (Bagaimanapun saya kira banyak juga pengalaman, terutama menjelang subuh Isnin, 26 April, sebelum katil ditolak ke bilik bedah HUKM boleh dikongsi bersama nanti).

Mengenai politik yang tidak pernah reda suhu kepanasannya? Tentunya sudah banyak diulas oleh karyawan lain, lagipun saya sendiri jarang mengikuti dari dekat pergolakan semasa. Umpama tertinggal keretapi.

(Namun, isu berkaitan permit Suara Keadilan dan kuasa tanpa batasan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang mengetepikan sama sekali fungsi mahkamah, wajib disinggung. Harakah juga harus bingkas mempersiapkan diri sebagai media PRU13 yang paling ampuh).

Sudah cukup lama saya meninggalkan kolum ini, Catatan Hujung, nama ruangan tetap yang dimulakan di majalah Dunia Islam pada awal 1990-an, kemudian berpindah ke majalah Tamadun, seterusnya Detik (hanya sempat setahun usianya sebelum majalah yang diterbitkan ketika gema reformasi memuncak itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri), beralih menghiasi lembaran akhir akhbar Siasah. Kini menumpang di Harakah. Harapnya ia kekal lebih lama, dan konsisten.

Agak ramai kenalan merungut tentang 'kemalasan' saya menghidupkan kolum tersebut. Apabila sesekali keluar Kuala Lumpur, bertemu secara tidak sengaja pembaca Harakah, mereka kerap mengingatkan tentang Catatan Hujung. Sering kali saya berdaleh dengan kekangan kesihatan.

"Tak perlu tulis yang berat-berat. Apa saja saudara tulis, okey, terutama yang menyentuh jiwa," jawab pantas seorang yang mengaku 'peminat' ketika saya singgah minum di Dungun, empat bulan lalu. (Saya pun kurang mengerti apa maksud 'menyentuh jiwa' itu namun yang pasti ia membuatkan saya lebih terasa sukar untuk memulakannya).

Rasanya sejak menjalani operasi angioplasti, ekoran tiga salur darah jatung tersumbat, bermula Disember 2009, kolum ini tidak diisi. Sebenarnya ia satu kegagalan besar.

Bagi seorang kolumnis, apa pun hambatan menerpa, kolum mesti disiapkan, dengan apa jua cara. Pengalaman kolumnis besar, seperti Subky Abdul Latiff, cukup sukar untuk saya teladani.

Bagi Pak Subky, tiada alasan untuk mengetepikan deadline. Ketika beliau keluar negara, hatta semasa mengerjakan fardu haji (dan teknologi ICT belum cukup canggih lagi waktu itu), kolumnya untuk dua bulan disiapkan terlebih dahulu. Saya menjadi kerdil jika mahu dibandingkan dengan pengasas Harakah itu, juga kolumnis lain, misalnya A Shukur Harun dan Dinsman.

Keperitan menanggung penyakit kronik dan meniti episod 'hidup-mati' memang misteri yang 'cukup indah'.

Anda belajar mengenali diri setulusnya, menyerah sebulatnya kepada Yang Maha Pengasih, menyedari keterbatasan memaknakan kehidupan, dan mengkagumi bagaimana cantiknya ukhuwwah sesama Muslim. Mulanya memang sukar untuk menerima hakikat namun selepas 'dipelajari' (harus ada keinsafan dan kesungguhan untuk menekuninya), insya-Allah akan terbuka hijab dan lapis-lapis yang mendindingi selama ini.

Sebagai mukadimah, catatan ini terasa cacatnya jika tidak mengalungkan penghargaan buat seluruh team pembedahan saya tempoh hari, yang diketuai Dr Mohd Zamrin Dimon, Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman (kedua-duanya pakar perunding bedah jantung), pakar bius Dr Joanna, Dr Hairulfaizi Haron, Dr Ishamuddin Ismail dan dua perfusionist, Yusof Hambali dan Zulkifli Zain. Juga buat para jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Wad Sutera, HUKM.

Saya sama sekali tidak dapat melupakan kunjungan, doa, bantuan dan sokongan begitu ramai pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menghantar SMS pada malam pembedahan.

Begitu juga dengan majlis solat hajat yang diatur tanpa pengetahuan saya. Termasuk yang menawarkan bantuan rawatan secara percuma (termasuk Ustaz Ahmad Awang dan isteri yang hampir setiap minggu membawakan ubat homeopathy Dr Azmi Zainonabidin dari Kamunting, Perak).

Bantuan kewangan Dato' Husam Musa dan pihak Harakah (melalui perhatian serius Dato' Mustafa Ali dan Dato' Kamarudin Jaffar) cukup banyak membantu. Kenalan lama tiba-tiba menziarahi sekali gus menghulurkan bantuan yang tidak pernah terlintas. Maha Suci Allah ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan