PKR didakwa cabar undang-undang

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan pemimpin PKR yang berkeras untuk menerbitkan akhbar lidah rasmi parti itu walaupun permitnya tidak diperbaharui oleh pihak berkuasa, sebagai suatu usaha mencabar undang-undang negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada pihak yang terkecuali dari undang-undang negara ini.

"Hendak langgar, engkar dan mencetak dengan tiada kebenaran, sudah tentu hendak mencabar (undang-undang), nak tunjuk siapa lebih besar dan siapa lebih berani," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup pembangunan Parlimen Pagoh di Muar, hari ini.

Beliau percaya, pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang selepas melakukan pertimbangan yang teliti terhadap perkara itu.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR Tian Chua bahawa parti itu tetap akan meneruskan penerbitan akhbar Suara Keadilan walaupun permohonannya untuk memperbaharui permitnya ditolak oleh KDN.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, perkara berkenaan permit akhbar Suara Keadilan merupakan satu isu undang-undang dan tidak ada kena mengena dengan politik.

"Ini bukan soal politik, tetapi melibatkan undang-undang, tetapi Keadilan mahu menjadikan ia soal politik kerana ia adalah pembangkang," katanya.

Mengenai permohonan MCA sebagaimana yang disuarakan oleh presidennya Datuk Dr Chua Soi Lek bagi peruntukan RM1 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10) bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Muhyiddin berkata, perkara itu masih dibincangkan.

"Kita (kementerian dan MCA) telah berbincang tetapi masih belum selesai," katanya sambil menambah, Kementerian Pelajaran tidak mengetahui peruntukan yang bakal diterimanya di bawah rancangan pembangunan lima tahun itu.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, taklimat hari ini adalah tentang usaha-usaha untuk membangunkan Parlimen Pagoh di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan RMK-10.

Katanya, tanah seluas 4,000 hektar di Pagoh yang dimiliki oleh syarikat Sime Darby akan dijadikan hab pendidikan, menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan