PR Perak sedia peguam bela pesalah saman ekor

Pakatan Rakyat Perak sedia memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana rakyat Perak yang mahu membawa isu saman ekor ke mahkamah. Demikian dijelaskan oleh YB Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin dalam sidang akhbar pagi tadi bersama dengan peguam Asmuni Awi.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri oleh beberapa pimpinan dan adun Pakatan Rakyat. Menurut Tn. Hj Asmuni Awi, seorang pengamal undang-undang dan juga Pengarah Pilihanraya PAS Perak, tindakan JPJ yang tidak mahu memperbaharui cukai jalan kepada pesalah saman ekor adalah bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, pesalah saman ekor tidak pernah dibuktikan bersalah samada melalui pengakuan atau pembuktian pihak pendakwa. Tindakan ini jelas satu penganiyaan ke atas rakyat.

Saman ekor melalui perangkap kamera ke atas pesalah jalanraya tidak dianggap satu kesalahan yang dilakukan oleh pemilik kenderaan selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

Tindakan tidak boleh memperbaharui cukai jalan seolah-olah pemilik kenderaan sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Ini bercanggah sama sekali dengan keadilan yang sebenar, pengguna jalan raya sekalipun di perangkap dengan kamera mesti dibuktikan bersalah terlebih dahulu oleh mahkamah, dan pengguna tersebut mesti diberi peluang membela diri di mahkamah.

Pakatan Rakyat Perak melalui pasukan peguamnya bersedia memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana pesalah saman ekor.

Ustaz Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan