5,000 pekerja asing bertindak agresif ekoran kematian rakan

Lebih 5,000 pekerja asing sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru, hari ini berkumpul dan bertindak agresif termasuk membaling kerusi selepas menyangkakan kematian seorang rakan mereka disebabkan kelewatan majikan menghantarnya ke hospital.

Dalam kejadian selama tujuh jam mulai pukul 7 pagi di asrama pekerja itu, kumpulan pekerja asing rakyat Myanmar, Bangladesh, Nepal dan India berkenaan turut membaling sampah sarap sebagai tanda protes terhadap majikan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal yang ditemui di tempat kejadian berkata siasatan mendapati kesemua pekerja asing itu tersalah faham mengenai kematian rakan mereka.

"Sebenarnya rakan mereka yang berumur 20 tahun itu telah merahsiakan mengenai demam panas yang dialaminya dari majikan dan pihak pengurusan sebelum akhirnya bersetuju untuk ke hospital pagi tadi.

"Bagaimanapun, akibat lewat ke hospital, lelaki rakyat Nepal itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail kira-kira pukul 7 pagi," katanya.

Beliau berkata kematian itu menyebabkan rakan-rakannya menyangkakan dia mati akibat kelewatan majikan memabawanya ke hopital lalu berkumpul dan membuat bising di asrama itu bagi menyatakan ketidakpuasan hati.

Amer berkata kesemua pekerja berkenaan berjaya disuraikan kira-kira pukul 2 petang tanpa sebarang kecederaan dan dikawal sepenuhnya oleh polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Beliau berkata polis tidak membuat sebarang penahanan dalam kejadian itu dan telah menghubungi Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur berhubung tuntutan mayat pekerja itu.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan