JAKARTA, 13 Ogos: Penyanyi utama kumpulan Peterpan Nazriel “Ariel” Irham terus menafikan yang dia terlibat dalam dua klip video pornografi apabila dipertontonkan bersama bekas teman wanitanya Cut Tari, semalam.
Ekoran penafian Ariel itu yang turut mendakwa dia tiada “perasaan” terhadap Cut Tari, bekas teman wanita itu terus menangis di hadapan pegawai-pegawai polis.
Peguam Cut Tari, Hotman Paris Hutapea memberitahu para pemberita, pihak polis telah menayangkan salah satu rakaman itu di hadapan Cut Tari dan Ariel di bilik yang sama di ibu pejabat polis kebangsaan di sini.
Menurut Hotman, pihak polis menggunakan pendekatan itu untuk mengenal pasti pelakon dalam video itu, yang mana salah seorangnya ialah Ariel.
Satu lagi video melibatkan teman wanita semasanya, Luna Maya yang juga artis berprofil tinggi di Indonesia.
Klip video yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon, panjangnnya antara lima dan tujuh minit disebarkan menerusi internet sejak awal Jun lalu.
“Video itu dimainkan dan polis bertanya kepada Ariel, adakah yang itu anda? Ariel masih tidak mengakui yang itu adalah dia,” katanya Hotman lagi dipetik Jakarta Globe.
Ariel dikatakan memberitahu polis bahawa lelaki dalam video itu bukan dia dan dia tiada apa-apa perasaan cinta terhadap Cut Tari.
Hotman menambah, kenyataan Ariel itu menyebabkan Cut Tari berkecai lalu menangis.
“Jika Ariel merasakan dia itu bukan lelaki dalam video, dan tiada apa-apa perasaan terhadap diri saya, itu urusan dia. Saya sangat sedih,” kata Cut Tari.
“Saya sedih kerana dia masih enggan mengakui yang video itu adalah miliknya dan dia tiada apa-apa rasa cinta terhadap saya. Saya seorang wanita yang ada perasaan,” kata Cut Tari.
Cut Tari, yang bulan lalu mengaku dialah wanita dalam salah satu klip video, sudah pun berkahwin dengan mempunyai seorang anak perempuan.
Setakat ini hanya Ariel yang ditahan oleh polis.
Minggu lalu, Luna Maya menghadiri konsert yang dianjurkan artis Ahmad Dhani sebagai sokongan kepada Ariel.
Konsert itu yang dinamakan ‘The Rock Show for Free Ariel’ diadakan di Jakarta.
“Saya berada di sini untuk menyokong Ariel. Walaupun dia menjadi bahan senda sekarang, tidak boleh dinafikan bahawa dia telah membuat sumbangan (besar) menerusi lagu-lagunya,” kata Luna Maya.
“Ariel adalah jiwa saya,” katanya.
Ariel diletakkan di lokap bersebelahan dengan ulama Abu Bakar Bashir, yang ditahan berhubung dakwaan ada kaitan dengan pengganas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan