Awang Selamat Yang Tak Selamat

Sofi Wahab

Marah betul nampaknya penulis pojok Utusan Meloya, Awang Selamat kepada PAS. Katanya, naib presiden PAS, Datuk Hj Mahfuz Omar sebagai pemimpin yang 'angkuh dan paling menjijikkan' kerana didakwanya suka menghina orang Islam.

PAS pula didakwanya sebagai parti yang 'paling dayus' meskipun menggunakan nama Islam kerana menolak permuafakatan dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP

"Pedulikan golongan seperti itu, yang suatu hari akan menangis keinsaatan kerana merekalah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan Islam," tulis Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Begitu hebat Awang Selamat membodek tuannya sehingga sanggup menuduh orang lain dayus dan jijik. Padahal hakikatnya siapa yang dayus dan jijik yang tidak berani menegur tuannya walaupun jelas tuannya melakukan kesalahan bukan sahaja kepada manusia malah menyanggah dan mempermainkan perintah Allah.

PAS bekerjasama dengan DAP atas dasar Tahaluff Siyasi kerana berjuang bersama untuk menumbangkan kerajaan BN yang jelas mengamalkan rasuah, zalim, menekan rakyat, tidak menegakkan keadilan, menyeleweng dan pelbagai lagi.

Tidak nampak kesungguhan BN untuk membasmi rasuah, mengambil tindakan terhadap pimpinan yang dituduh bersalah. Malah dalam kes-kes berprofil tinggi rakyat terus sangsi dan ragu dengan perbicaraan dan pendakwaanya. Lihat sahaja kes pembunuhan Altantuya, kehilangan enjin jet, komisen Scorpene, pembunuhan di Memali dan banyak lagi.

Begitu juga dengan sikap Umno/BN yang kononnya mahu berpadu tetapi pada masa yang sama menolak sistem federalisme dengan menafikan royalti minyak kepada Kelantan, menganaktirikan negeri-negeri PR, menubuhkan institusi seperti JKKKP dan sebagainya di negeri PR sedangkan institusi yang sah sudah dilantik oleh kerajaan negeri.

Pemimpin dan penyokong PR dianaktirikan dengan ada ditangkap tanpa alasan di bawah ISA, program PR diganggu dan dihalang dan bermacam-macam lagi.

Selain itu Saya juga menyeru Umno supaya menyelesaikan masalah dalamannya dulu sebelum hendak berpadu dengan orang lain. Ada mesyuarat bahagian yang huru hara contohnya di Sg Petani, pertelagahan di Rantau Panjang malah ada desas-desus menyatakan di peringkat tertinggi pun berlaku perselisihan cuma ianya ditutup.

Awang Selamat janganlah menulis semata-mata untuk membodek tetapi mesti beretika dan bermaruah. Jangan gadaikan etika kewartawanan semata-mata untuk 'fulus'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan