Peneroka Felda Kemahang Tiga perintis kebangkitan warga Felda seluruh negara

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Ogos:
PAS mengucapkan tahniah kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan yang sekali lagi memenangi tuntutan saman mereka kepada Felda yang bernilai RM11 juta di Mahkamah Persekutuan untuk kali kedua, hari ini.

Pada pertengahan Januari lalu Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan pertama tetapi Felda berkeras mahu kes ini dibicarakan semula oleh panel lain.

“PAS mengucapkan syabas kepada kesabaran dan keberanian para peneroka ini yang menjadi perintis kepada kebangkitan warga Felda di seluruh negara,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Kini, katanya beberapa peneroka Felda di seluruh negara juga sedang berusaha menyaman Felda, antaranya adalah 766 orang peneroka Rancangan Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM200 juta dan Jawatankuasa Kesepakatan Bersama Peneroka (Sepakat) yang mengemukakan tuntutan berikut:

1. Penggredan Buah Tandan Sawit Segar (BTS) dilakukan dengan telus mengikut peraturan yang tertera dalam Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), termasuk penggredan BTS ‘bermutu’, ‘tidak bermutu’ dan muatan ‘ditolak’ yang menentukan pendapatan peneroka;

2. Pengembalian semula Wang Tabungan Tanam Semula kepada peneroka yang tidak menyertai skim Felda;

3. Penilaian semula levi RM10 sebulan bagi setiap ekar yang dimiliki peneroka;

4. Kebenaran bagi peneroka memiliki lesen MPOB bagi memasarkan sendiri hasil mereka (Akta Tanah GSA 1960);

5. Pengagihan lebihan keuntungan hasil atau bonus tahunan kepada semua peneroka meliputi mereka yang masih lagi atau sudah tidak menyertai skim Felda;

6. Menggesa Felda memaklumkan dan meminta pandangan peneroka mengenai segala perubahan dasar-dasar Felda, terutama yang mempunyai kesan secara langsung kepada peneroka; dan

7. Pembelian kayu getah dibuat pada kadar harga pasaran (semasa proses tanam semula, kayu-kayu getah dibeli oleh Felda pada harga rendah daripada harga pasaran).

PAS, ujarnya menyokong usaha peneroka Felda untuk mendapatkan hak mereka dan membongkar penyelewengan dalam organisasi Felda.

“PAS juga kesal kerana dalam kes Felda Kemahang tiga ini, pada 1 Nov 2002, satu ugutan dibuat dalam satu perjumpaan yang telah diadakan di Pusat Kegiatan Ummah Felda, Kemahang yang dihadiri Pengerusi Felda Kemahang Tiga dan Datuk Mustapa Mohamed (MT Umno) yang ketika itu Ahli Parlimen kawasan Jeli,” ujarnya.

Menurutnya, para peneroka diugut untuk dibuang dari rancangan skim kelompok Felda jika masih meneruskan kes itu di mahkamah.

PAS, katanya berharap perkara itu tidak berlaku dan pihak Felda haruslah menghormati keputusan mahkamah.

Beliau menambah, kini warga Felda tidak perlu lagi menjadi hamba kepada Felda dan mereka perlu berani untuk dapatkan hak mereka.

Mereka juga, ujarnya bebas untuk memilih parti mana yang mereka sukai untuk diundi dalam pilihanraya akan datang dan PAS sedia memberikan bantuan kepada mereka.

Katanya, Umno ternyata telah gagal memperjuangkan hak peneroka, dan PAS bersedia untuk menjadi kerajaan bersama Pakatan untuk melindungi hak mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan