Gantung Loceng Di Leher Kucing

Zolkharnain Abidin

Tidaklah istimewa sangat tulisan ketua ulama muda Umno seperti yang tersiar dalam Malaysiakini. Tulisan itu tidak lebih sekadar menjustifikan kemasukan beliau dan rakan-rakannya ke dalam parti sekular itu.

Kalau ingin dikatakan istimewa juga, tulisan itu diselang-seli dengan maksud ayat-ayat al-Quran, hadis dan ungkapan para ulama terdahulu yang dipetik daripada kitab-kitab muktabar mereka.

Ya, tulisan ulama. Kalau tidak diselang-seli dengan itu semua, tentulah tulisan itu sama sahaja dengan tulisan bukan ulama dalam Umno.

Lagi pun, beliau adalah ulama muda. Tentulah sangat perlu ulama muda membuktikan kepada pemimpin Umno bahawa mereka bukan calang-calang ulama. Penguasaan ilmu mereka mesti dibuktikan dengan keupayaan memetik dan menyedut pelbagai ungkapan daripada kitab-kitab terdahulu.

Ketua ulama muda ini menganggap kemasukan beliau ke dalam Umno sebagai perjuangan. Cuma beliau tidak menggunakan ungkapan jihad. Kalau ungkapan itu digunakan, tentu lebih gah.

Pernahkah ketua ulama muda Umno ini bertanya dirinya sendiri, apakah yang ingin diperjuangkannya melalui Umno? Perjuangan Islam, perjuangan Melayu, perjuangan keadilan, perjuangan ketelusan, atau apa lagi?

Kalau perjuangan Islam, Islam bagaimana? Kalau perjuangan Melayu pula, Melayu mana? Kalau perjuangan keadilan atau ketelusan, adakah wujud semenjak sekian lama tunas-tunas keadilan dan ketelusan di dalam Umno yang boleh mereka bajai?

Bagaimana kalau saya katakan, Umno adalah parti zalim? Adakah para ulama Umno ini punya hujah untuk menolaknya?

Saya katakan, ketua ulama muda ini ibarat seseorang yang memiliki sebatang mancis api. Dia berhasrat mencerahkan sebuah bangunan besar dengan mancis sebatang itu. Pada masa yang sama pula angin bertiup sangat kencang.

Mampukah dia menahan mancis itu daripada terpadam? Atau, mampukah dia menghentikan tiupan angin? Atau, akhirnya dia akan teraba-raba kegelapan dan kedinginan sedangkan anak mancis telah terpadam dan angin pula terus bertiup kencang?

Bagi ketua ulama muda Umno ini, Umno tidak perlu dituding dengan kesalahan yang dilakukan. Parti-parti lain juga turut melakukan kesalahan. Umno perlu dinasihati dan bukan sibuk mengintip kesalahannya.

Sebenarnya, kesalahan Umno tidak perlu diintip. PAS dan PKR tidak perlu mengupah jasus untuk mengintai kesalahan Umno. Daripada orang asli yang tinggal di hutan sampai kepada pegawai tinggi kerajaan di Putrajaya, semuanya tahu kesalahan bahkan jenayah Umno.

Kesalahan itu pula bukan kesalahan kerana ‘tersalah’ tetapi kesalahan ‘sengaja’. Adakah ketua ulama muda Umno ini tidak membaca laporan Ketua Audit Negara? Atau, dia tidak membaca pendedahan yang dibuat oleh pelbagai media termasuk media antarabangsa?

Adakah ketua ulama muda Umno ini turut mempercayai dan membenarkan konspirasi ke atas bekas TPM, sedangkan al-Qardhawi sendiri tidak berpendirian sebegitu?

Adakah ketua ulama muda ini turut ingin berkongsi jenayah dan dosa tuduhan meliwat tanpa empat saksi?

Atau, ketua ulama muda Umno ini menganggap rasuah, jenayah bunuh, jenayah kurung, jenayah menyiksa yang dilakukan sekian lama oleh Umno sebagai bukan jenayah? Dia ingin turut sama memikul dosa semua itu?

Kalau ketua ulama muda ini punya bahu yang gagah dan sanggup memikul sama, silakan.

Selanjutnya, ketua ulama muda Umno ini mengaku letih dengan kritikan dan sindiran kepadanya apabila dia masuk Umno. Dia menganggap kritikan dan sindiran itu sebagai ujian untuk orang beriman.

Pelik juga, mengapa dia memilih ujian melalui menyertai Umno? Mengapa tidak memilih ujian dengan menjadi penentang Umno? Dia pun tahu, ujian ada dimana-mana, tetapi ujian melalui penyertaan ke dalam Umno yang dipilih, mengapa?

Saya rasa ketua ulama muda Umno arif jawapannya seperti saya dan orang lain juga. Dia juga perlu menilai semula, adakah apa yang dihadapinya apabila menyertai Umno adalah ujian? Atau, itu adalah bala.

Ketua ulama muda Umno ini turut mengaku bahawa dia tidak mempunyai upaya mengubah Umno. Mengubah wanita Umno supaya memakai tudung pun dia tidak berupaya. Hujahnya, hidayah bukan di tangannya.

Baginya, Umno rosak kerana beberapa idividu jahat dalam Umno. Rasuah, tolak hudud dan mata duitan bukan dasar Umno.

Benar, hidayah bukan di tangan manusia termasuk nabi-nabi. Tetapi, bumi ini berputar berdasarkan sunnah atau undang-undang. Tidak ada sesuatu pun yang berlaku tanpa sebab. Sebab musabbab adalah sunnah Tuhan.

Sudah terlalu banyak sebab yang melayakkan Umno berubah menjadi parti seperti yang diharapkan oleh ketua ulama muda Umno ini. Mereka tewas di Kelantan semenjak 1990. Sepatutnya itu sudah cukup untuk membuat Umno sedar, namun itu tidak berlaku.

Bahkan, kesombongan dan kesumbingan parti itu semakin menjadi-jadi. Mereka tewas lebih teruk pada PRU terbaru, Umno tetap begitu juga.

Untuk pengetahuan ketua ulama muda ini, Umno bukan lagi sekadar dinasihati dengan suara tetapi dinasihati dengan kuasa rakyat melalui peti undi, parti itu tetap begitu juga.

Umno bukan dinasihati oleh seorang atau dua orang orang tetapi oleh jutaan rakyat. Bukan setahun atau dua tahun, tetapi sudah 20 puluh tahun. Bukan lagi oleh ulama muda, tetapi oleh semua kasta ulama.

Adakah Umno berubah? Kalau begitu ramai orang yang menasihati Umno, begitu lama parti itu dinasihati, Umno kekal begitu juga, adakah Umno akan berubah dengan nasihat ketua ulama muda Umno?

Akhirnya, bagi saya, kerja ulama muda Umno ini sama seperti kerja tikus yang berpakat untuk menggantung loceng di leher kucing. Kerja itu bagus, mulia, terpuji. Kerja itu adalah perjuangan. Ya, perjuangan menyelamatkan tikus seantero alam daripada menjadi mangsa kucing.

Persoalannya, bolehkah? Kalau boleh silakan. Dan, mari kita sama-sama menanti hasilnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan