Hu Phang Chaw minta Chua Soi Lek berhenti belajar Islam dari Umno

Presiden MCA, Dato' Sr Chua Soi Lek digesa agar berhenti mempelajari tentang Islam daripada Umno dan menyerahkan mengenai persoalan tentang perkara berkaitan agama kepada para alim ulama. Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw menegaskan kenyataan yang dibuat Chua itu hanya akan menunjukkan kejahilan dirinya tentang agama Islam dan sekaligus mempamerkan kefahaman Islam yang salah sepanjang beliau berkawan dengan pemimpin Umno.

"Saya nasihatkan dia (Chua) agar berhenti belajar Islam dengan Umno sebab ianya tidak betul, dan pandangannya itu memperlihatkan kejahilan beliau tentang agama Islam. Lebih baik serahkan isu ini kepada alim ulama," katanya

Phang Chaw melarang Chua daripada mempelajari Islam daripada Umno dengan alasan pemimpin parti kebangsaan itu suka membuat tafsiran al-Quran mengikut pandangan sendiri tanpa merujuk kepada mereka yang lebih pakar.

"Lebih baik dia jangan kritik tentang isu agama Islam yang dia sendiri tidak tahu. Chua belajar dengan Umno yang menjadi sifu mereka sedangkan pemimpin Umno suka tafsir al-Quran ikut fahaman sendiri. Isu agama isu yang sensitif tetapi kita kena faham tentang agama Islam yang sebenar," ujarnya.

Mengulas mengenai reaksi dingin daripada mana-mana pemimpin Umno berhubung kenyataan Chua, Hu berkata itu membuktikan mereka setuju dengan pandangan tersebut.

"Umno tahu Chua betul, sebab Islam yang dibawa oleh Umno sama seperti apa yang dikatakan oleh Chua. Islam tidak menyekat kebaikan kepada manusia sebaliknya Islam yang dibawa Umno menyekat segala bentuk kebaikan. Maka tidak hairanlah Umno boleh bermaharajalela selama 53 tahun di negara ini dengan segala bentuk kerosakan," katanya lagi.

Beliau tetap meletakkan kesalahan awal kepada Umno, sebelum menyalahkan Chua.

"Dia (Chua) tidak berkawan baik dengan PAS (untuk mengenali Islam), dia kena berhenti belajar Islam dari Umno dan belajar dengan PAS. Tapi kalau dia malu, boleh belajar dengan Lim Guan Eng atau telefon saya secara senyap-senyap," ujarnya lagi.

Terdahulu, Chua yang pernah kecoh dengan isu skandal rakaman video seksnya mengeluarkan kenyataan kononnya PAS dan Umno telah menggunakan agama sebagai cara untuk menarik sokongan Melayu, malah beliau mendakwa negara akan menjadi mundur dan tidak maju sekiranya Islam menjadi dasar kepada sesebuah pentadbiran.

Menurut kenyataan yang dibuatnya dalam Mesyuarat Agung MCA di Alor Setar Kedah itu, Chua merujuk kepada kajian yang dibuat sebuah badan penyelidik bebas dengan memberikan contoh beberapa buah negara Islam yang mundur akibat menggunakan Islam sebagai dasar negara.

NOTA: Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bulan Ramadan ini boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564025400533 (atas nama Parti Islam Semalaysia), yang diselenggarakan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dan Bilik Berita Harakah.

-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan