Isu Hudud : Penjelasan Nik Nazmi

Isnin lalu laporan New Straits Times memetik kata-kata saya menyatakan pelaksanaan hukuman hudud di Malaysia adalah “tidak sesuai”.

Laporan ini kemudian dipetik pula oleh Bernama tanpa menghubungi saya.
Sebenarnya saya telah nyatakan ketika dihubungi NST bahawa tidak timbul persoalan bahawa saya menentang syariah kerana ia sebahagian daripada agama Islam.

Dalam 17 Perkara Dasar Keadilan, termaktub pendirian Keadilan dalam hal agama:

“Mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan sambil menjamin hak bukan Islam untuk beragama dan berfikir, dan untuk memperkembangkan peranan agama dan nilai-nilai sejagat demi menegakkan kebenaran, keadilan, tatacara berakhlak, kemanusiaan dan kemuliaan insan.”

Pendirian Pakatan Rakyat juga adalah jelas. Dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai Keadilan, PAS dan DAP pada Disember 2009 Pakatan memartabatkan peruntukan Perlembagaan termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama di Malaysia.

Pakatan juga komited untuk menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.

Dalam
temubual saya Januari tahun ini dengan laman web the Nutgraph juga saya menegaskan adalah penting untuk semua menghormati mahkamah syariah (serta Perkara 121(1)(a)) dan memahami matlamat hakiki syariah (maqasid syariah) iaitu pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Isu ini telah saya ulas dalam dua bab dalam buku saya, Mendepani Zaman iaitu Meraikan Warisan Wasatiyyah Kita – bagaimana kita boleh mengembangkan peranan Islam dalam masyarakat selari dengan tradisi kesederhanaan Islam di Nusantara dan Tiada Paksaan: Masyarakat Islam dan Bukan Islam di Malaysia – bagaimana mempertahankan muafakat Perlembagaan bahawa Mahkamah Syariah hanya tertakluk kepada umat Islam dan tidak kepada masyarakat bukan Islam.
Dalam aspek syariah kita harus lihat perlunya mengambilkira fiqh al awlawiyyat (fiqh keutamaan) dalam proses pelaksanaannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan