Khatib Zakaria: Saya tak buat salah, tiada sebab perlu mohon maaf

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Zakaria Ahmad, khatib yang dikaitkan dengan isu khutbah berkata, beliau berpendirian tidak perlu memohon maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam isu doa khutbah.

“Saya tidak akan memohon maaf sebab saya pasti yang tidak melakukan apa-apa kesalahan, tiada sebab untuk meminta maaf pun,” kata Zakaria ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Saya tidak akan tunduk desakan itu, saya tidak perlu buat demikian,” kata beliau lagi sambil menambah, isu itu diperbesarkan oleh pemimpin politik.

Kata beliau, pemimpin-pemimpin politik terbabit sengaja mengadakan cerita mendakwa “saya membacakan doa kesejahteraan Ketua Menteri.”

“Saya memang ada membaca doa minta beri petunjuk, hidayah kepada Ketua Menteri... selepas ini saya tidak akan baca doa itu ketika khutbah Jumaat, tetapi akan baca di tempat lain,” katanya lagi.

“Sebelum ini mereka kata saya menggugurkan nama Yang di-Pertuan Agong, tetapi sejak beberapa hari lalu mereka mengatakan bahawa saya membacakan doa untuk kesejahteraan Ketua Menteri, sekarang mereka sudah pusing... soal ini tidak timbul sebab saya membacakan khutbah secara umum menyebut nama pemimpin negara bermakna semua pemimpin termasuk ketua negara (Yang di-Pertuan Agong),” katanya.

Laporan media semalam memetik Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata beliau mahu Zakaria membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan segera.

Menurut beliau, perbuatan Zakaria yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dimaafkan begitu sahaja hanya kerana beliau sudah memberi penjelasan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

“Dia harus memohon ampun secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana dengan sengaja tidak menyebut nama baginda yang menjadi ketua negara dan ketua agama Islam,” kata Zahid.

Ketika ditemui wartawan tiga hari lalu, Zakaria mempertahankan tindakannya berdoa untuk Ketua Menteri dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang sambil menegaskan, ia tidak salah di sisi agama.

“Bagi saya, berdoa (untuk orang bukan Islam) itu tidak salah cuma cara berdoa dan tempat (ketika khutbah Jumaat) itu yang dikatakan menjadi kesalahan.

“Insya-Allah lepas ini saya tidak akan mendoakan lagi (khutbah Jumaat) kalau

hendak mendoakan pun di tempat lain,” katanya.

Zakaria menyifatkan isu berdoa itu adalah kecil tetapi telah diperbesarkan oleh orang politik dan beliau berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang kerana memberi bimbingan kepadanya.

Mengenai kemungkinan tindakan perundangan, Zakaria berkata beliau memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada beberapa individu, akhbar arus perdana dan sebuah stesen televisyen membuat permohonan maaf secara terbuka atau berhadapan tindakan saman berhubung kontroversi doa khutbah.

“Sebelum ini saya memberi dua hari tetapi oleh kerana minggu depan ada cuti Hari Kemederkaaan iaitu pada Selasa, maka saya beri masa sehingga akhir bulan, dan jika tidak memohon maaf, saya akan mengambil tindakan undang-undang awal bulan depan,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, Zahid berkata Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan