Kisah Zambry si 'penyamun tarbus'

Mohd Rashidi Hassan
SEMUA pihak sama ada golongan istana, mufti, orang politik, pegawai kerajaan NGO dan sesiapa sahaja yang membantu Umno-Barisan Nasional Perak merampas kuasa dari kerajaan Pakatan Rakyat, seharusnya berasa malu dan berdosa.

Mereka harus berasa malu kerana mereka tersilap langkah, mengembalikan Umno-BN sebagai kerajaan negeri secara yang tidak demokratik dan melantik Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang bacul sebagai Menteri Besar.

Mereka harus rasa berdosa kerana akibat daripada pengambil alihan kuasa secara haram, negeri Perak Darul Ridzuan sudah tidak demokratik lagi.

Zambry mencemar kebanggaan Perak, walaupun Rajanya pernah menduduki kerusi Ketua Hakim Negara, yang terkenal dengan keadilan dan kebijaksanaanya.

Mereka juga harus berasa malu dan berdosa kerana menabalkan seorang yang bacul sebagai MB. Apa tidak baculnya. Jika Zambry 'anak jantan' beliau harus berani berhadapan dengan Adun-Adun Pakatan Rakyat secara terbuka, gentleman dan demokratik, sama seperti yang dilakukan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sepanjang 11 bulan setengah pentadbirannya.

Sekarang ini BN majoriti dalam Dun Perak, kerana mereka dibantu oleh tiga Adun pengkhianat. Oleh itu, jika Zambry 'anak jantan' apa yang beliau hendak takutkan.

Sama ada hendak bentang belanjawan negeri, soal dasar pemerintahan, soal bajet tambahan, sepatutnya dibuka ruang seluas-luasnya untuk berbahas dan berbincang secara matang dalam Dun.

Apa pun biar dibincang dalam Dun, selepas itu dengan majoriti yang Umno-BN ada, luluskanlah, apa masalahnya?

Walaupun Pakatan Rakyat tidak pernah menerima kerajaan haram Umno-BN memerintah Perak, namun atas keterbukaan dan sifat toleran yang tinggi, Pakatan Rakyat 'menghormati' keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan Zambry sebagai MB.

Pakatan Rakyat mahu menjadi 'pembangkang' yang efisyen. Bekerjasama untuk membangunkan Perak, mengajak Zambry dan Umno-BN bersemuka, berdialog untuk kebaikan rakyat.

Justeru, selepas Zambry 'dilantik' Mahkamah sebagai MB, seharusnya beliau mentadbir negeri, memanggil sidang Dun dan melaksanakan tugas-tugasnya sebagai pentadbir, selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Tetapi apa yang berlaku di Perak adalah sebaliknya. Demokrasi sudah tidak wujud. Zambry, Umno-BN selaku pemerintah, membuat sesuatu tindakan secara 'diam-diam'. Sampaikan bayang-bayang sendiri pun Umno-BN takut.

Sidang Dun dikawal ketat. Mengalahkan amalan undang-undang negara komunis. Semuanya dihadkan dan disekat, seolah-olah kerajaan negeri mentadbir dalam keadaan curfew (darurat).

Lagak Zambry di Perak seumpama 'penyamun tarbus' yang merampas kuasa secara haram, tetapi sentiasa dalam keadaan kegusaran dan kebimbangan kerana kesalahannya merampas kuasa.

Akibat daripada kegusaran itu juga Zambry mempergunakan polis begitu ramai, semacam mengiyakan bahawa Malaysia adalah negara polis.

Seperti kata Nizar, yang memperjelaskan ketakutan Zambry, "Persidangan Dewan Negeri Perak lebih sesuai dipanggil Persidangan Polis Diraja Malaysia. Lebih ramai polis berkerumun di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat."

Di sebalik kawalan ketat anggota polis yang begitu ramai, Zambry tetap tidak mampu menyembunyikan ketakutannya, sehingga terpaksa mengatur dan memaksa bajet tambahan negeri sebanyak RM80 juta diluluskan dengan perbahasan yang amat singkat dan dalam keadaan tergesa-gesa.

Itu pun keseluruhan sidang Dun diadakan hanya dalam tempoh yang singat, dua atau tiga jam sahaja. Lagak takut Zambry, macam orang hendak menyamun di siang hari.

Zambry harus ingat, jawatannya sebagai MB hanyalah amanah seketika. Beliau harus mentadbir kewangan negeri secara telus dan transparen. Duit kerajaan negeri adalah duit rakyat, bukan duit 'mak bapak' pemimpin Umno. Jangan hendak membahagi atau membidak-bidak sesuka hati.

Oleh kerana itu, rakyat keseluruhannya berhak mengetahui dari mana sumber wang itu diperolehi, ke mana ianya dibelanjakan dan untuk apa ia dibelanjakan.

Golongan agama, khususnya mutfi harus mengingatkan Zambry, bahawa setiap sen yang dibelanjakan secara yang tidak halal akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak.

Peranan mufti ialah, beliau harus mengingatkan Raja, MB, Exco, orang-orang politik dan pegawai kerajaan, supaya tidak membazir, jangan menyeleweng wang rakyat, jangan berjudi, jangan meminum arak dan sebagainya. Bukan hanya cakap soal perpaduan Melayu-Islam sahaja.

Peranan mufti yang utama antaranya, ialah membantu sesebuah kerajaan negeri, melaksanakan pemerintahan mengikut panduan Islam, terutamanya dalam soal menjaga halal haram.

Dalam soal hukum minum arak misalnya, jika ianya dilakukan pemimpin, tetapi mufti tidak menegur. Mufti akan turut bersubahat dan sama-sama menanggung dosa.

Jangan kerana mufti dilihat terlalu akrab dengan pemimpin, maka jika dia membuat kesalahan, mutfi hanya mendiamkan diri. Takut-takut nanti beroleh gelaran ulama bisu pula.

Berbalik soal politik Perak. Jelas Zambry bukan tandingan Nizar. Tiada karisme langsung. Beliau jauh lebih bacul jika dibandingkan dengan bekas MB, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali yang dilihat 'lembik' oleh orang-orang Umno.

Zaman Tajol, sidang Dun dibuat selama beberapa hari. Boleh bahas enakmen atau perbekalan tambahan dua tiga hari, zaman Zambry pintu demokrasi disempitkan akibat ketakutan yang melampau.

Ketakutan Zambry diungkapkan oleh Adun Pantai Remis Nga Kor Ming, katanya, "Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika tidak buat salah, mengapa BN begitu takut mendengar suara rakyat dari Pakatan Rakyat."

Maka di atas ketakutan itu, sejak memerintah Perak, Zambry terpaksa mempergunakan ramai anggota keselamatan, kononnya untuk mengendurkan tekanan Pakatan Rakyat.

Namun Zambry tersilap langkah. Beliau masih tidak sedar bahawa rakyat tidak takut kepada gertakan polis. Rakyat tidak takut kepada Umno.

Rakyat tidak takut kepada sesiapa pun yang melanggar prinsip demokrasi, walaupun jika pemerintah berselindung di sebalik istana.

Hal ini diperkatakan rakyat kebanyakan. Apa yang Zambry hendak takut kalau dia memerintah secara halal? Inilah akibatnya, apabila mengambil kuasa secara haram.

Memerintah dalam keadaan takut-takut.Seolah-olahnya banyak perkara yang hendak Umno-BN sembunyikan daripada rakyat.

Barangkali dengan mengehadkan sidang Dun, Zambry fikir beliau boleh menghalang suara Pakatan Rakyat.

Namun sebenarnya, tindakan yang dibuat Zambry semakin membuatkan rakyat semakin membenci Umno-BN, kerana hanya menunjukkan pemerintahan kerajaan negeri Umno-BN terumbang ambing dan caca merba.

Umno-BN tidak boleh mempersalahkan Pakatan Rakyat dalam hal ini. Selepas Nizar dan anggota Exconya digugurkan, mereka langsung tidak ada access dengan pentadbiran negeri.

Kelemahan yang berlaku berpunca daripada Umno-BN sendiri. Umno serta parti-parti yang berada dalam komponen BN semua lemah dan tidak stabil.

Bagaimana sebuah parti atau coalition boleh mentadbir negeri dengan baik, jika dalaman mereka berpecah belah dan tidak mendapat sokongan rakyat?

Apa yang berlaku di Perak, jelas menunjukkan bahawa, Zambry sendiri tiada karisme, tidak tahu mentadbir. Oleh kerana itu Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya berasa malu mempunyai MB yang spesies seperti Zambry.

Zambry menjatuhkan maruah Umno, memalukan Umno dan semakin merosakkan imej Umno-BN di Perak. Inilah hasilnya jika mengambil alih kuasa secara haram. Kesemua ini sudah disimpulkan kartunis Zunar dalam idea klasik beliau dalam majalah bertajuk 'Perak Darul Kartun'.

Maka dalam soal ini bukan Zambry seorang yang salah sahaja. Ramai yang terbabit. Terutama mereka-mereka yang bersekongkol dengan Umno-BN untuk merampas kuasa dari rakyat.

Dosa-dosa akibat tangan-tangan kotor mereka yang membantu Umno-BN terlalu banyak dan harus dibersihkan. Angkara mereka ini hanya memperkukuhkan tekad rakyat untuk memastikan Perak bersih daripada najis, kotoran dan daki Umno-BN, dengan mengembalikan kuasa kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan