Mercun: Penjarakan pesalahnya

SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais dan Polis terhadap tindakan keras mereka di seluruh negara terhadap penyeludupan dan penjualan bunga api dan mercun.

Ini jelas menunjukkan bahawa jika penguatkuasaan dipertingkatkan, penyeludupan barangan gelap boleh dikawal.

Dalam laporan media hari ini, Pengarah Jabatan Risikan Kastam, Datuk Ismail Ibrahim dipetik sebagai berkata denda yang lebih berat sebagai ganti kompaun minimum RM100 bagi mereka yang ditangkap atas kesalahan bunga api yang akan bertindak sebagai pencegahan. CAP menyokong sepenuhnya langkah yang sudah lama tertangguh.

Selama lebih daripada dua dekad, CAP menggesa pihak berkuasa supaya mengenakan denda yang lebih berat terhadap kesalahan yang dilakukan termasuk hukuman penjara.

Peningkatan insiden penyeludupan, pengedaran dan penjualan bunga api dan mercun hanya boleh dihentikan melalui penguatkuasaan yang tegas dan dengan kerjasama daripada orang ramai supaya tidak membeli barangan gelap.

Di bawah seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang didapati mengeluarkan, memiliki atau mengimport bungai api dan mercun boleh dipenjarakan tidak kurang lima (5) tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pencabulan undang-undang yang sedia ada untuk mengawal penyeludupan yang berleluasa, pengedaran dan penjualan barangan gelap jelas tidak dipandang serius oleh pesalah.

Oleh itu, undang-undang itu perlu dipinda untuk memasukkan perkara yang berikut:

  • Hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk merampas harta dan aset mereka.
  • Kenderaan yang digunakan untuk membawa barangan gelap juga perlu dirampas dan dilelong.
Keberanian orang ramai bermain bunga api dan mercun secara terbuka dan bebas juga menunjukkan pihak polis tidak mampu untuk menghentikannya. Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap mereka yang ditangkap bermain bunga api dan mercun.

Denda yang lebih berat dan hukuman penjaraperlu dikenakan ke atas penjual dan mereka yang ditangkap bermain dengan bunga api dan mercun. Ibu bapa yang didapati anak-anak mereka ditangkap membeli dan bermain bunga api dan mercun hendaklah dipertanggungjawabkan terhadap tindakan anak-anak mereka.

Kumpulan pemantau kejiranan juga perlu dibentuk untuk melaporkan sebarang aktiviti di kawasan mereka. Orang ramai seharusnya tidak takut untuk melaporkan mengenai jiran mereka yang didapati memiliki barangan haram ini.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi melalui telefon 04-8299511 atau faks: 04 8298109 atau emel: idrismd@tm.net.my laman sesawang: http://consumer.org.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan