Mereka Bangun Tinggalkan Masjid Bila Dibaca Ayat Qisas Dlm Khutbah

ustnik
Sekitar tahun 2001-2002, saya berkhutbah Jumaat pada bulan Ramadhan di sebuah masjid di daerah Kemaman. Ketika itu Terengganu di bawah kerajaan PAS baharu sahaja mewartakan satu peruntukan undang-undang iaitu meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang-undang tubuh negeri Terengganu. Ia diperkenankan oleh as-Sultan Mizan (moga Allah sentiasa memelihara Tuanku dan Sultanah).

Dari atas mimbar saya melihat beberapa wajah makmum yang seperti ada sesuatu di dalam diri mereka. Saya belum berkhutbah ketika itu. Ketika mula berkhutbah kemudiannya, saya membacakan firman Allah tentang kewajipan puasa: “Wahai orang beriman! Difardhukan ke atas kamu sebagaimana difardhukan puasa itu kepada umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (183: alBaqarah).

Saya juga membacakan ayat di dalam mushaf pada mukasurat sebelumnya tentang hukum Qisas. “Wahai orang yang beriman! Difardhukan ke atas kamu qisas (pembalasan setimpal) dalam jenayah pembunuhan.

khutbah Jumaat 10 Ramadhan 1431H/20.8.2010 (6)

Saya hubungkaitkan antara 2 ayat tersebut, lalu saya berkata: ‘Kedua-dua ayat diseru kepada orang beriman. Kedua-duanya disebut kutiba iaitu difardhukan. Puasa berkait dengan ibadat. Qisas adalah salah satu hukum berkait jenayah selain hudud dan takzir. Puasa di mana sahaja boleh dilakukan tapi Qisas perlu kepada sistem pemerintahan dan undang-undang yang menaunginya.’

Tiba-tiba beberapa orang makmum bangun dan meninggalkan masjid. Ke mana mereka pergi? Sakit perut? Bukan. Apabila ditanya kepada makmum lain selepas solat Jumaat, mereka rupanya keluar terus dari masjid tanpa solat Jumaat. Mereka sakit dalam hati. Iman mereka sakit sebenarnya. Benarlah Allah yang menyebut, maksudnya: “Dalam hati mereka ada penyakit. Lalu Allah tambah penyakit kepada mereka.”

Saya sengaja membacakan ayat tentang kewajipan puasa dan kewajipan melaksanakan hukum qisas itu di atas mimbar ketika berkhutbah di masjid itu dalam bulan Ramadhan dengan tujuan menyelamatkan aqidah para jemaah dari kesesatan sekularisme hasil tanaman UMNO/BN selama puluhan tahun. Bukan bermaksud menghalau mereka keluar dari masjid. Tapi itulah yang berlaku. Aqidah sesat UMNO/BN (ada jawapan untuk ini wahai ulama muda UMNO?) ditanam begitu kuat dan kukuh dalam diri rakyat sehingga mereka tidak boleh menerima Islam secara menyeluruh. Benar kata-kata: ‘Mereka boleh terima hukum puasa, tapi tidak boleh menerima hukum hudud dan qisas.’

Apa salah saya membacakan ayat-ayat itu? Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal Islam yang mesti ditegakkan. Ketika diberi amanah memerintah Terengganu, PAS Terengganu telah melaksanakan satu perkara asas besar iaitu meletakkan asas pemerintahan undang-undang negeri berpandukan wahyu. Justeru itu saya mengingatkan makmum tentang perkara ini.

Ketika itu kes buang bayi tidak sekerap sekarang. Ketika artikel ini ditulis kes buang bayi hampir saban hari dilaporkan. Kerajaan yang memerintah seperti hilang punca mencari penyelesaian yang entah bila akan ada kesudahannya ini.

Apakah apabila al-Quran disusun demikian rupa menyebut tentang hukum Qisas sebelum beberapa ayat tentang hukum puasa Ramadhan, ia dibuat saja-saja? Maha Suci Allah dari bermain-main dan Allah Yang Maha Mengetahui tentang susunannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan