Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 21 Ogos:
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Hasan Ahmad sedang meneliti dan menyiasat isu nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng ada pada doa kedua khutbah Jumaat yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurutnya, memang dibolehkan nama orang bukan Islam jika sekiranya berdoa untuknya mendapat hidayah daripada Allah SWT.

"Jabatan Mufti sedang meneliti dan menyiasat apa yang diperkatakan itu. Semua keterangan akan dimaklumkan kemudian pada media," ujarnya yang tidak mahu mengulas lanjut.

Jelasnya, doa ada dua kategori iaitu doa untuk kesejahteraan atau mendapat hidayah manakala menukar nama Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan Ketua Menteri dianggap tidak lojik.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husein sanggup mengetuai pasukan penyiasat bagi mengenal pasti masjid mana yang dimaksudkan oleh Ahmad Zahid itu.

Katanya, jika didapati ia hanya mainan 'politik kebudak-budakan’, maka tunggulah satu tindakan akan diambil bagi membersihkan nama Ketua Menteri yang tidak tahu menahu namanya dibaca dalam khutbah Jumaat.

"Saya sendiri akan menghantar pasukan menyiasat di mana masjid yang dikatakan berlaku di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh. Jika tiada apa-apa berlaku kita akan lihat langkah seterusnya," tegasnya.

Menurutnya, tidak menjadi kesalahan sekiranya nama Ketua Menteri dibaca dalam khutbah supaya beliau diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT memandangkan banyak melibatkan diri dalam aktiviti Islam.

Pasukan itu, kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas, akan dibentuk sejurus sahaja mendapat kata putus dalam perbincangan sesama rakan seperjuangan.

Rosidi yang juga Pengerusi Generasi Perwaris Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menyifatkan, tuduhan melulu Zahid itu berpunca dari kemelut dalaman Umno yang kemungkinan sukar berpaut pada masyarakat Melayu pada pilihan raya ke-13 kelak.

"Bila rasa tersepit, apa lagi terciptalah berbagai isu karut," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan