Protes: 300 penduduk bermalam di khemah

Lebih 300 penghuni rumah pangsa Taman Permata Dengkil akan bermalam di khemah di luar kawasan perumahan mereka, malam ini.

Tindakan itu sempena bantahan 24 jam yang bermula jam 5 petang tadi kerana menuntut tempat tinggal yang lebih selamat.

Majlis 'Mari Berkhemah' yang diterajui Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) itu diadakan bagi membela nasib kira-kira 500 keluarga yang didakwa dipindahkan ke situ secara tergesa-gesa apabila Putrajaya dan Cyberjaya dibangunkan untuk dijadikan pusat pentadbiran baru negara pada 1998.

Malangnya, penduduk mendakwa rumah pangsa yang mereka duduki sekarang ini mengalami retakan struktur yang teruk dan berlakunya hakisan bawah tanah.

Sehubungan dengan bantahan itu, beberapa kanopi besar kira-kira 700 meter daripada kawasan perumahan mereka didirikan bagi mereka berteduh malam ini.

Kehadiran polis

Penyelaras JERIT E Nalini ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini berkata setakat jam 6.45 petang seramai kira-kira 80 orang penduduk sudah berkumpul dalam empat kanopi yang dipasang di tepi jalan raya berhampiran jalan masuk ke rumah pangsa berkenaan.

"Mere

ka akan bermalam di khemah ini sehingga esok," katanya yang turut berada di khemah itu.

Nalini yang juga penyelaras Suaram berkata, kira-kira jam 4 petang tadi seramai 20 hingga 30 anggota polis berada berdekatan bagi memantau keadaan.

Menurutnya, dua pegawai polis dari balai polis Dengkil mengarahkan pengajur dan orang ramai supaya bersurai kerana didakwa "berhimpun secara haram dan tidak mempunyai permit".

Bagaimanapun, Nalini berkata mereka tidak berganjak dengan alasan bahawa rumah mereka itu tidak selamat untuk didiami dan mereka menuntut rumah yang baru dan selamat.

Nal
ini berkata menjelang lewat petang, jumlah anggota polis berkurangan menjadi lima orang. Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan majlis berjalan dengan lancar.

Menurutnya, beberapa program telah diatur sempena 'perkhemahan' itu dengan penduduk membuat beberapa buah kain rentang menuntut agar mereka diberikan rumah teres..

"Kain rentang akan digantung sekitar Dengkil malam ini. Bahkan ada kain rentang yang sudah dinaikkan," katanya.

Serah memorandum

Selain itu katanya, mereka juga akan mengutip tandatangan - di atas sebuh kain rentang - daripada orang ramai bagi menyatakan sokongan kepada penduduk.

Menurutnya lagi beberapa pemimpin Pakatan Rakyat akan hadir pada malam ini termasuk Presiden PSM Dr Nasir Hashim dan ahli parlimen Sungai Siput Micheal Jeyakumar Devaraj.

"Acara kemuncak adalah penduduk flat tersebut akan menyerahkan memorandum menuntut perumahan yang selamat dan campurtangan kerajaan negeri kepada wakil Menteri Besar Selangor," katanya.

M

enurutnya, acara itu akan berlangsung selepas wakil menteri besar dan beberapa wakil rakyat mengunjungi rumah pangsa itu pada jam 10 pagi esok.

Sementara itu, setiausaha agung PSM S Arutchelvan yang turut hadir berkata penduduk rumah pangsa itu sebenarnya berasal dari empat ladang yang terletak di Putrajaya - Ladang Perang Besar, Ladang Galloway, Ladang Sedgely dan Ladang Medingly.

Katanya, penduduk berasa diri mereka tertipu kerana setelah melakukan pengorbanan dengan membiarkan rumah kediaman mereka dibangunkan namun diberikan tempat berteduh yang tidak selamat.

"Sebab itu mereka membuat protes dengan berkhemah di sini. Sebelum ini, masalah mereka tidak didengari oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Berkhemah ini merupakan simbolik kepada nasib mereka," katanya.

Dakwanya lagi, penduduk yang dipindahkan itu juga dijanjikan bahawa rumah pangsa yang diduduki itu adalah hanya buat sementara waktu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan