Qazaf: Shamsul cabar Ezam bersumpah

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 19 Ogos:
Senator Ezam Mohd Noor dicabar membawa saksi serta bersumpah di mahkamah mengikut syarak berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berzina dan liwat melalui sesawang sosial Twitter.

Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin pada satu kenyataan di perkarangan kompleks Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) menganggap aduan tuduhan qazaf Ezam itu sebagai langkah permulaan mencabar bekas Ketua AMK itu.

Baginya, dakwaan rambang melalui Twitter sejak 24 Julai lalu sudah memadai untuk mengheret Ezam yang kini aktivis Umno ke kandang qazaf.

Dari sesawang Twitter Ezam, didapati Ezam seakan mendakwa Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengetahui perbuatan liwat dan zina oleh Anwar, suaminya merangkap penasihat parti itu.

"Saya juga telah lihat betapa jijiknya kerana kuasa politik seseorang isteri sanggup biarkan suaminya fitnah orang untuk tutup perangai kejinya yang meliwat.

"Azizah lindungi anwar sebagai isteri ok tp (tapi) x (tidak) boleh subahat biar anwar fitnah yg (yang) lain utk (untuk) tutup kesalahan sendiri sbb (sebab) azizah tahu hal yang sebenar," ujar Ezam seperti dalam Twitternya.

Difahamkan, permohonan qazaf terbaru itu merujuk pada seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukan (saksi atau bukti), mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan kesalahan."

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, Ezam mungkin menghadapi denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 14 April lalu telahpun menolak suatu permohonan yang dilakukan oleh Anwar sendiri.

Ezam yang juga bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dicabar berdebat oleh bekas ‘anak buahnya', Mohd Nazree Yunus berhubung isu rasuah di Selangor.

Mohd Nazree yang juga bekas Pengerusi Gerak membuat pengumuman demikian tengah hari tadi pada dinding sesawang sosial Facebooknya.

Beliau yang juga anggota AMK Nasional ketika dihubungi kemudiaan berkata, cadangan tersebut ekoran Mohd Ezam melemparkan pelbagai dakwaan yang mengelirukan sepanjang aktiviti kempen Selamatkan Selangor belakangan ini.

"Terlalu banyak dakwaan beliau yang mengelirukan, saya cadang perdebatan isu pasir dan penyelewengan dalam kerajaan negeri Selangor, tetapi kalau beliau bersedia dialog secara fakta pun saya sedia," ujarnya.

Ujarnya, surat jemputan debat dan dialog akan dihantar kepada Mohd Ezam dalam masa terdekat supaya rancangan tersebut boleh diadakan selepas hari raya puasa, iaitu sekitar Oktober depan.

Difahamkan, Mohd Nazri turut bercadang mendedahkan beberapa aktiviti tidak wajar Mohd Ezam sebelum 'bos'nya itu menyeberang ke kem Umno Barisan Nasional di samping mendedahkan fakta sebenar berhubung isu curi pasir dan pentadbiran kerajaan Selangor.

Sementara itu, Ezam pada petang ini dijangka turut diheret ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) oleh seorang lagi 'anak buah'nya atas tuduhan membuat dakwaan palsu atau qazaf ke atas bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin bertindak demikian gara-gara Ezam yang juga bekas Ketua AMK Nasional menggunakan sesawang sosial Twitter dengan mendakwa Anwar sebagai pelaku liwat.

Ezam dijangka menyambut kedua-dua cabaran ini memandangkan masing-masing adalah bekas anak buahnya sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan