Ridhuan, mengapa dikaitkan mengkafir itu orang PAS

WM F W Yakub
Pertama kalinya saya membaca tulisan tuan Dr Ridhuan Tee, saya akui tuan Dr mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, begitu juga pembaca halaman tuan memuji-muji tuan Dr, namun tidak semestinya tuan Dr seorang yang alim. Kadang-kadang perlu kita sedar bahawa tidak semua perkara yang kita boleh sentuh dengan hanya memiliki satu taraf tertinggi dalam pendidikan, maka lihatlah apa bidang yang diceburi.

Buktikan, siapakah pemimpin di kalangan ahli PAS yang suka mengkafirkan orang? Jika dulu, setakat ada pengikut PAS yang jahil melaungkan perkataan kafir, bukan menjadi satu trademark atau ukuran ke atas orang PAS kerana tidak semua orang PAS alim dan berilmu. Jangan kerana setitik nila, habis susu sebelanga. Itupun di zaman bila? Siapakah mereka? Adakah apabila tok-tok guru menyuarakan sifat-sifat boleh menjadi kafir itu menjadi satu kesalahan? Bahkan dalam al-Quran jelas ciri-ciri siapa yang menjadi kafir. Seolah-olah semua ahli PAS kaki mengkafirkan orang.

Kembalilah kepada fakta dan sejarah, surah al-Taubah menjelaskan gambaran sebenar realiti manusia. Sindiran tuan Dr seolah-olah ahli PAS hanya terdiri daripada kalangan orang yang suka mengkafir orang serta jahil dan tidak berilmu. Adakah hanya orang seperti tuan Dr dikira sebagai berilmu dan berakademik lantaran memiliki pencapaian tertinggi dalam pendidikan?

Sebenarnya, jauh dari apa yang tuan Dr fikir dan faham. Benarlah ada yang kata tuan Dr mungkin belajar dari orang Umno atau fikiran sama dengan Umno, boleh jadi menimba dari berita tv dan akhbar pro Umno, bukan dari ahli PAS sendiri. Ahli PAS pula terdiri daripada berbagai latarbelakang, ada tok-tok guru, ulama-ulama, sarjana-sarjana, ustaz-ustaz, guru-guru, pakar-pakar dan sehingga serendah-rendah tahap pendidikan, tidak semua yang sangat faham dengan perjuang Islam PAS, sekadar ahli PAS, mungkin seperti tuan Dr yang kurang faham. Jangan letakkan diri tuan Dr berada di kalangan mereka yang suka menyebar fitnah, berhati-hati bila berada di lembah yang curang lagi bercerun, seperti kata Nabi s.a.w. kawanlah mencorak peribadi seseorang.

Mengapa orang yang menggelarkan diri mereka sarjana dan intelek, bebas dan bertamaddun, bijak dan pandai hanya mengecam kesalahan PAS yang sedikit daripada menghentam sekeras-kerasnya tindakan Umno selama-lamanya membenarkan kemungkaran bermaharaja lela lantaran menyalahkan rakyat yang tidak sedar diri, tetapi bukannya pemimpin Umno yang sepatutnya sedar diri. Jangan mudah tertipu di atas kepura-puraan mereka membina masjid-masjid, membantu orang susah, membenarkan forum dan pentas agama selagi mana mereka itulah orangnya merosakkan agama dengan mencampur adukkan dengan perkara kemungkaran Allah.

Sebenarnya tidak jauh bezanya dengan negara kafir barat, ada juga negara barat membenarkan alim agama berceramah asalkan tiada unsur menghentam mereka, Amerika baru saja mengumumkan pembinaan sebuah masjid bernilai jutaan ringgit di pembinaan semula pusat dagangan antarbangsa mereka, samalah di negara kita, sekiranya tuan Dr sendiri menghentam Umno dengan nada yang serupa, pasti tuan Dr akan disekat dan dihalang. Mengapa cerdik pandai itu sendiri tidak turun bersama PAS dan membentuk serta membetulkan PAS dari dalam, kiranya merekalah orangnya yang mengutarakan idea bernas dan mempunyai pandangan yang jauh.

Di bulan Ramadhan ini, bebaskan ia daripada anasir-anasir mengeji lantaran rasa sakit hati terhadap pandangan orang lain sehingga tidak secara sedar yang lain makan nangka, yang lain terkena getahnya. Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan