Suami cekup isteri khalwat

MELAKA: Ketika umat Islam lain menunaikan ibadat puasa, seorang wanita bagaikan tidak mempedulikan kesucian Ramadan apabila dicekup suaminya sendiri kerana disyaki berkhalwat dengan lelaki lebih muda, semalam.

Wanita berusia 33 tahun itu dicekup suaminya di rumah mereka di pinggir bandar ini ketika bersama kekasih gelapnya yang juga seorang duda berusia 21 tahun.

Rahsia pasangan itu terbongkar apabila lelaki berusia lewat 30-an itu pulang ke rumahnya kira-kira jam 7 pagi dan sebaik masuk, dia terdengar isterinya sedang berbual dengan seorang lelaki.

Curiga dengan kehadiran orang asing yang berkurung bersama isterinya, lelaki terbabit menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bagi membuat pemeriksaan kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agamanya, Rahimin Bani berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasanya ke lokasi berkenaan dan apabila tiba, lelaki terbabit sudah menunggu di luar rumah.

Katanya, pihaknya terus masuk ke dalam rumah berkenaan dan pintu bilik itu dibuka lelaki terbabit.

“Pemeriksaan menemui seorang wanita dan lelaki sedang tidur bersama di atas satu katil dan wanita terbabit turut terkejut apabila melihat suaminya turut ada bersama.

“Ketika ditahan, wanita berkenaan hanya memakai baju-T singkat serta berseluar pendek, manakala lelaki terbabit hanya berseluar.

“Selepas disoal siasat dan mereka mengakui tidak mempunyai sebarang hubungan mahram, pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rahimin berkata, siasatan dilakukan mendapati pasangan itu keluar bersiar-siar sehingga awal pagi dan wanita berkenaan mengajak lelaki terbabit pulang ke rumahnya kerana sudah lewat untuk menghantarnya pulang.

Katanya, lelaki itu tiba di rumah wanita berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi sebelum mereka tidur.

“Bagaimanapun, pasangan berkenaan menyatakan mereka tidak tidur sebilik, sebaliknya ketika ditahan pasangan berkenaan dicekup tidur sekatil.

“Pasangan itu baru saja berkenalan tiga bulan lalu dan wanita itu pula mendakwa pada masa ini dia dan suaminya ada krisis rumah tangga.

“Lelaki terbabit bekerja sebagai peniaga, manakala ibu kepada tiga anak itu bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini,” katanya.

Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram, sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan