Umno dan MCA berlakon lagi?

Sofi Wahab
Presiden MCA, Chua Soi Lek mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa keadaan sosio-ekonomi Malaysia telah berubah dan sehubungan itu, tidak perlu baginya mengungkit lagi pertumpah berdarah 13 Mei 1969.

Dalam kenyataannya, Chua melahirkan rasa kecewa dengan amaran Muhyiddin yang mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Keadaan sosio-ekonomi Malaysia hari ini adalah jauh berbeza daripada 1969 di mana rakyat Malaysia kini mampu mengadakan perbincangan rasional tanpa perlu memalu gendang perang perkauman" kata Soi Lek.

Bagi saya pertelagahan ini tidak lebih hanya strategik MCA dan Umno yang cuba mengabui kaum masing-masing. MCA kononnya mahu menonjolkan diri menjadi jaguh bagi masyarakat Cina sehingga dilihat berani menyanggah pimpinan UMno yang juga pimpinan BN.

Umno pula berlakon dengan kononnya memperlihatkan ketegasan mereka dalam isu-isu sebegini. Dengan ketegasan dan keberanian ini MCA mengharapkan orang Cina kembali menyokong MCA manakala orang Melayu pula akan bersatu di bawah Umno kononnya untuk mempertahankan Melayu.

Inilah taktik yang sudah lama digunakan MCA dan Umno dalam rangka meraihkan sokongan dari kaum masing-masing. Akhirnya dengan sokongan kedua-dua kaum itu kepada Umno dan MCA maka BN akan menang besar.

Hakikat ini mesti ditangani segera oleh pimpinan PR supaya rakyat dari kaum Cina dan Melayu tidak ditipu oleh MCA dan Umno khasnya pada setiap kali menjelang Pilihanraya Umum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan