Waspada tiupan api perkauman Umno BN

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 20 Ogos:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua lapisan rakyat dalam negara ini agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, lewat hari ini.

Justeru, menurutnya, permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kini.

Beliau berkata, keadaan itu tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.

Kegagalan itulah juga, ujarnya yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Menurutnya, orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.

Katanya, ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara ini, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN.

“Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN di kala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan