70 pelajar dirasuk

MARANG: “Sepanjang lapan bulan lalu, lebih 50 kali saya mengalami histeria ketika berada di sekolah. Paling teruk berlaku kira-kira tiga minggu lalu,” kata pelajar berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Su dari Kampung Darat Pak Chang di sini.

Katanya, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu, berlaku kekecohan apabila pelajar menjerit secara tiba-tiba di kelasnya menyebabkan bising sehingga ada antara mereka pengsan termasuk dirinya.

“Ketika dalam perjalanan untuk dibawa ke surau, saya melihat satu lembaga besar berwarna hitam dipercayai menjadi punca 70 pelajar di sekolah ini dirasuk,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang itu, semalam.

Selain Su, gangguan histeria dialami kira-kira 70 pelajar perempuan sekolah itu sejak Januari lalu dan berterusan sehingga sekarang.

Su mendakwa, hampir setiap minggu dia mengalami histeria dan antara tanda awal sebelum diserang gejala itu badannya menjadi lemah, meremang bulu roma dan pening sebelum pengsan.

Malah, akibat sering diganggu dipercayai oleh makhluk halus, dia terpaksa mendapatkan rawatan di unit kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, bulan lalu berikutan keadaan fizikalnya terlalu lemah.
“Walaupun sekarang Ramadan, saya tetap mengalami gangguan berkenaan dan punca kejadian dipercayai akibat pekerja sekolah membakar barangan di tempat makhluk itu ‘tinggal’ berhampiran pagar belakang sekolah,” katanya.

Menurutnya, kerana sering pengsan dia terpaksa dibawa pulang dan akibatnya beberapa kertas peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak dapat disudahkan.

Su berkata, dia bimbang masalah gangguan itu akan menjejaskan pelajarannya terutama apabila mengambil peperiksaan SPM yang dijadualkan Oktober ini.

Ibunya yang mahu dikenali sebagai Zainab, 40-an, berkata sejak awal tahun ini anaknya sering mengalami gangguan itu dan terpaksa dihantar pulang hampir setiap minggu oleh guru sekolahnya.

“Sejak berada di tingkatan lima, anak kelima daripada tujuh beradik itu sering mengalami lemah semangat dan selepas mengetahui dia diganggu makhluk halus, saya membawanya berubat menggunakan kaedah Islam serta tradisional,” katanya.

Zainab berkata, guru banyak membantu anaknya ketika mengalami histeria dan dia menghargai langkah pihak sekolah memanggil pengamal perubatan tradisional bagi mengubati pelajar dan membersihkan kawasan yang dipercayai ‘keras’ itu.

Bekas pelajar sekolah itu yang ditemui, Azimah Razali, 19, berkata dia terkejut kerana kejadian histeria tidak pernah berlaku sepanjang dia menuntut di sekolah itu.

“Mungkin dulu ‘kawasan keras’ di sekolah itu tidak diganggu dan selepas kawasan terbabit dibakar, sesuatu mungkin mengakibatkan amukan makhluk halus sehingga menyebabkan berlakunya histeria di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong, mengesahkan kejadian histeria yang berlaku membabitkan 70 pelajar di sekolah berkenaan tiga minggu lalu.

“Saya berbesar hati apabila masyarakat setempat memainkan peranan seperti membawa pengamal perubatan bagi menghentikan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian masih terkawal serta tidak merebak ke sekolah berhampiran dan beliau percaya tekanan menghadapi peperiksaan sebagai punca berlakunya kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan