Anasir lunturkan semangat perjuangan PKR...

Lim Hong Siang
"Kita terus menerbitkan Suara, walaupun cara ini melanggar undang-undang.  Kita terus mengedarkan Suara walaupun banyak pengedar yang diugut.  Kita tidak ada pilihan lain.  Pihak berkuasa menuduh kita melanggar undang-undang.  Akan tetapi, dengan menafikan hak kita untuk bersuara, sebagaimana yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan sebenarnya menggalakkan kita melakukan aktiviti di luar undang-undang.  Ini tuntutan masa dan keadaan." -- Dipetik daripada ucapan perasmian Syed Husin Ali, selaku Timbalan Presiden dalam Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita PKR, pada 1 September 2006.
Suara Keadilan, lidah rasmi PKR selepas penggabungan antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti KeADILan Nasional, tidak memperolehi permit sejak terbitan sulungnya pada Jun 2005.  Bagaimanapun, terbitan diteruskan biarpun berdepan dengan tekanan dan ugutan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Seandainya diimbas, ia mungkin detik saat yang paling sukar untuk PKR, dengan hanya tinggal seorang ahli parlimen, iaitu Presidennya, Wan Azizah Wan Ismail setelah dibadai "gelombang biru" dalam PRU ke-11.  Namun demikian, semangat perjuangan pimpinan dan anggotanya menjadi obor yang menerangkan kesuraman ini.

Ia tidak terhenti setakat pada ucapan Syed Husin Ali, atau seruan Ketua Penerangan ketika itu, Tian Chua semasa sesi penggulungan perbahasan dalam Kongres Nasional Tahunan, untuk berdemonstrasi menuntut hak penerbitan lidah parti.  Kata-kata diterjemahkan kepada tindakan, apabila pimpinan dan anggota PKR turun gelanggang untuk berkumpul di bawah pejabat SUHAKAM pada 24 November 2006.

Protes hangat-hangat ayam?
Adegan tersebut tidak kelihatan lagi, biarpun PKR kini ditimpa nasib yang sama - permit Suara Keadilan tidak diperbaharui.  Tindakan protes agak hangat sebermulanya, apabila PKR mengambil langkah untuk menerbitkan lidah partinya dalam bentuk edisi tidak berkala, bermula dengan Keadilan (12 Julai 2010), Obor Keadilan (19 Julai 2010), Sinar Keadilan (26 Julai 2010), Utusan Keadilan (2 Ogos 2010), Berita Keadilan (9 Ogos 2010) dan kemudiannya berhenti di Metro Keadilan (16 Ogos 2010).
"Saya rasa ini sedang diperjuangkan..." Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR cuba mempertahankan partinya, dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, yang diadakan di pejabatnya, semalam.

Jawapan beliau ditemukan dengan soalan susulan, "Tetapi mengapa ia diberhentikan?"
"Ada perubahan dalam Suara Keadilan..." Beliau akhirnya mengakur, menceritakan bagaimana organ parti ini diambil alih oleh "golongan yang dianggap profesional", dari tangan "orang yang bersemangat tetapi dianggap tidak profesional".

Pengambil-alihan ini berlaku selepas tsunami politik, apabila PKR dilambung dengan harapan tinggi daripada rakyat.  Babak ini menyaksikan bagaimana Zunar, Ketua Pengarang dengan kakitangannya dalam Suara Keadilan, terpaksa memberi laluan kepada pasukan editorial baru.

"Test (ujian) yang pertama ialah golongan profesional ini, misalnya kali pertama, dua tahun lalu, (Suara Keadilan) dihentikan, (selepas tsunami), sudah dihentikan.  Suara Keadilan tak ada permit, mereka berundur.  Yang profesional takut."
Syed Husin Ali (gambar kiri) menyambung, "Dan saya kata waktu itu, keluarkan (terbitkan), buat atas nama saya.  Dan mereka teruskan.  Tapi yang meneruskan ialah golongan yang bersemangat dan berani itu.  Tetapi, apabila golongan yang profesional ini mengambil alih, walaupun saya katakan nama permit tu nama saya, saya ambil tanggungjawab, tapi mereka kurang berani."

Profesional tetapi tak berani?
Di sini ia memperlihatkan satu perubahan dalam sikap, yang berlaku di kalangan anggota mahupun pimpinan parti.  Syed Husin Ali mengakuinya, "Tapi, itu tak bererti terus mengalah begitu sahaja.  Sebab sekarang, salah satu sebab, golongan profesional ini dia memikirkan soal kewangan, untung-rugi, kan?  Dan bila tak ada wang, dia tak berani nak keluarkan."
Apakah fenomena ini membimbangkan Timbalan Presiden, yang bakal berundur?  "Ada, ada kemungkinannya nilai-nilai kebendaan dan kewangan mendominasi dalam parti.  Kebimbangan itu ada.  Ini bukan masalah parti.  Ini masalah seluruh masyarakat.  Seluruh dunia.  Dan sangat susah untuk kita menongkah arus...  Orang yang bodoh-bodoh macam saya sahaja..."
Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan