Aziz Bari: Pelantikan Cubaan Singkir Ku Li Dari Umno

SHAH ALAM 30 SEPT: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Profesor Dr Aziz Bari percaya pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, sebagai cubaan halus Umno untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Beliau berkata Umno nekad dengan meletakkan tekanan kepada Teng Razaleigh atau Ku Li bagi menyulitkan kedudukan beliau yang sering berpihak kepada kerajaan Kelantan pimpinan Pas yang memperjuang royalti minyak.
"Saya menganggap ini amaran kepada Ku Li sama ada terus kekal atau keluar Umno. Walaupun kita melihat beliau konsisten tidak senada dengan Umno tetapi dia masih belum keluar," katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Ku Li selama ini didesak pelbagai pihak supaya keluar Umno dan menyertai Pakatan Rakyat berikutan kecenderungannya memihak kepada kerajaan Kelantan dalam isu royalti minyak dan beberapa perkara lain.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyat Pas, Che Hashim Sulaima akibat barah usus, mendorong laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.
Mengulas mengenai peluang Pas memenangi pilihan raya kecil itu, Aziz percaya keputusan pilihan raya kecil itu secara matematiknya berpihak kepada Pas walaupun Ku Li memimpin kempen Umno Barisan Nasional.

Beliau berkata, Umno BN tampak tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil mengejut walaupun mahu menunjukkan kemampuan mereka merampas semula kerusi DUN yang terlepas ke tangan PAS pada 2008.
Katanya, kemerosotan pengundi Umno BN dijangka berlaku
 melibatkan undi pos berikutan masyarakat orang Asli di Kelantan khususnya DUN Galas semakin selesa dengan kepimpinan Pas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan