Dr Dzul : Pelaburan Corot Kerana Rasuah, Bukan Pakatan Rakyat

SHAH ALAM 19 SEPT : Pakatan Rakyat menyifatkan kenyataan kerajaan bahawa pembangkang penyebab pelaburan asing merosot sebagai tidak berasas sama-sekali meskipun lucu.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata umum menyedari persepsi pelabur terbentuk bersandarkan kepada petunjuk ekonomi seperti daya saing dan keuntungan, yang diuja oleh faktor kronisma, rasuah dan salahguna kuasa.
Unjuran turun naik pelaburan dan prestasi ekonomi mengambil-kira beberapa aspek penting seperti kemudahan untuk menjalankan perniagaan, lapangan peluang yang sama-rata atau tidak, separah mana penyelewengan dalam negara serta sekuat mana komitmen kerajaan mempertahankan integriti dan kebebasan institusi penguatkuasaan undang-undang.
Faktor prasarana seperti capaian internet jalur lebar yang terlalu perlahan juga mempengaruhi minat para pelabur.
Dr Dzulkefly melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mukhriz Tun Mahathir yang disifatkan sebagai tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang terpelajar dalam selok-belok ekonomi.
" Ketika demokrasi berfungsi, ia akan meninggalkan satu rasa keyakinan kepada pelabur. Pernah saya katakan dahulu,pelabur adalah manusia paling penakut. Mereka hanya akan pergi kepada tempat pelaburan yang mereka yakin mereka akan dapat pulangan," kata Dzulfkefly.
" Kalau kita ambil keadaan semasa, kita tengok apa yang akan mendatangkan keyakinan pelabur? Antara lain kestabilan, antara lain apa yang dikatakan sebagai suasana iklim demokrasi dan berfungsinya demokrasi dan sistem kehakiman yang bebas dan berwibawa," tegasnya kepada TV Selangor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Mukhriz yang mendakwa pelabur tidak berminat untuk melabur di negara ini kerana Pakatan Rakyat asyik menegur dan mahu memperbetulkan salahlaku kerajaan.
Mukhriz membuat tuduhan itu selepas Bank of America Merill-Lynch melaporkan Malaysia jatuh dalam kategori negara Asia Pasifik yang tidak digemari para pelabur.
Dari tahun 2008 hingga 2009 sahaja, pelaburan asing ke Malaysia corot 81 peratus.
Ujar Dr Dzul, teguran dan pandangan yang diberikan Pakatan Rakyat adalah untuk kebaikan negara.
" Pembangkang bising itu baik untuk melahirkan semak imbang. Pelabur tahu kalau pembangkang tidak mengizinkan rasuah, tidak mengizinkan kronisme,tidak mengizinkan ketirisan, kebocoran, baik untuk mereka," kata Dr Dzulkefly.
" Mukhriz tidak faham semua itu. Orang Umno memang tidak faham tentang semua itu sebab mereka telah terpasak dengan amalan seperti ini" ujarnya lagi.
Malah tambah beliau, pelabur asing mula tidak berminat untuk melabur di negara ini apabila kerap kali disogokkan dengan berita kononnya wujud puak militan bagi menjustifikasikan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
" Antara lain yang menyebabkan pelabur terkesan ialah andainya berlaku banyak intimidasi,militan. Kalau kita lihat siapa yang membawa berita-berita ini,media utama, media BN termasuk Perdana Menterinya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan