Mas Selamat ‘selamat’ di Malaysia, kena ISA di Singapura

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Anggota Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, warga Singapura, dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia pagi ini, dan beberapa jam kemudian dikenakan undang-undang yang sama di republik itu.


Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata perintah tahanan ke atas Mas Selamat di bawah ISA telah dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bermula hari ini.


Dipetik Bernama, beliau berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa Mas Selamat telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia hari ini untuk tindakan pengusiran.


Anggota kumpulan militan itu bersembunyi di Johor sejak Mac 2008 setelah berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Whitley Road, Singapura pada 27 Februari 2008.


Beliau bagaimanapun berjaya ditahan pada 1 April, 2009 di Johor.


Sebelum ini, Mas Selamat melarikan diri dari Singapura pada bulan Disember 2001 selepas kerajaan Singapura melancarkan satu operasi keselamatan bagi membanteras JI.


Menurut kerajaan Singapura sebelum ini, dia adalah antara mereka yang merancang serangan balas terhadap Singapura kerana menahan dan menangkap rakan anggota JI.


Dia turut merancang untuk merampas sebuah kapal terbang dan merempuh Lapangan Terbang Changi tetapi melarikan diri ke Indonesia untuk mengelak dari ditahan.


Mas Selamat, yang dikenal pasti sebagai pemimpin rangkaian JI tempatan Singapura, ditahan oleh pihak berkuasan Indonesia pada Februari 2003 kerana kesalahan memiliki dokumen pengenalan palsu.


Beliau kemudiannya dipenjara 18 bulan atas kesalahan imigresen sebelum ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Singapura pada 2006.


Dalam pada itu, Singapura berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghantar balik Mas Selamat.


Kementerian Dalam Negeri republik itu menyampaikan penghargaan tidak terhingga Singapura kepada rakan sejawatannya, pasukan Cawangan Khas dan Tugas Khas Malaysia di atas bantuan mereka berhubung penahanan serta penghantaran balik Mas Selamat ke negara berkenaan.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berikutan pengumuman polis Malaysia berhubung pembebasan Mas Selamat hari ini, kementerian tersebut berkata penahanan serta penghantaran balik Mas Selamat menggambarkan kerjasama erat antara agensi keselamatan


Malaysia dan Singapura yang terjalin sekian lama, selain berkhidmat dengan cemerlang kepada kedua-dua negara.


Kementerian itu berkata Mas Selamat telah diserahkan kepada Singapura hari ini oleh pihak berkuasa Malaysia, namun tidak pula mendedahkan cara, masa dan tempat penyerahan pemimpin JI itu dilakukan.


Kementerian berkenaan juga berkata Mas Selamat telah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura dan sedang disiasat.


Dilahirkan di Singapura, Mas Selamat pernah melarikan diri pada 2001, ketika pihak berkuasa negara itu melancarkan satu operasi menahan rakyatnya yang disyaki mengganggotai JI, tetapi dia ditangkap polis Indonesia di Pulau Bintan pada 2006, sebelum dihantar balik ke republik itu.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan