Remaja kembar hilang di Kampar ditemui di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 21 Sept: Remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, bersama teman sebaya, Suhaili Abd Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas, ditemui di Pulau Pinang hari ini.

Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Taman Bandar Baru, Kampar itu ditemui di sebuah flat di Paya Terubong di sini pada pukul 8 pagi.

Ketua Balai Polis Air Itam, Cif Insp Mohd Fadzil Napiah berkata, ketiga-tiga remaja perempuan itu ditemui bersama dua rakan lelaki mereka iaitu Mohammad Akmal Hakim Ismail, 19, dan Shahrizan Zakaria, 20.

Sebelum ini, pasangan kembar dan rakan mereka dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli pakaian di pekan Kampar pada hari raya kedua.

Polis akan memberi butiran lanjut mengenai penemuan remaja itu dalam satu sidang akhbar tidak lama lagi. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan