Rundingan FTA Malaysia-India ‘bunuh’ petani

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 22 Sept: PAS mendesak kerajaan Pusat supaya menangguhkan serta-merta rundingan dengan India pada Konvensyen Zon Perdagangan Bebas (FTA) yang sedang berlangsung di Pulau Langkawi sekarang.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, persetujuan FTA kali ini akan menjejaskan 'keselamatan makanan' serta kepentingan negara.

"Masalahnya sekarang, syarat terbaru India iaitu bebas eksport semua gred beras ke dalam negara kita nampak seperti mahu dimuktamadkan juga sedangkan ianya pasti menjejaskan 'keselamatan makanan' negara kelak," ujarnya kepada Harakahdaily.

"Kita bukan setiap hari makan minyak sawit, kalau industri beras kita tidak berkembang, maknanya tahap 'keselamatan makanan' kita terjejas."

Beliau yang juga Pengarah Lajnah Pengguna PAS Pusat berkata, persetujuan kerajaan itu juga sekaligus membunuh mata pencarian kaum petani.

"Memanglah dari satu segi negara untung sebab minyak sawit tembus pasaran India, tetapi pada masa yang sama kita membunuh (mata pencarian) petani kita, kita bunuh 'keselamatan makanan' negara kita.

"Saya kira India sendiri akan menjadikan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) sebagai pelantar dalam memasarkan beras sebab Bernas mementingkan keuntungan, bukan susah payah petani," ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, kerajaan sepatutnya belajar dari kegagalan rundingan FTA antara Malaysia dan New Zealand.

"FTA dengan New Zealand sebelum ini telah mengakibatkan susu cair import membunuh industri susu cair tempatan, takkan kerajaan mahu membunuh industri beras nasional pula," soalnya.

Tuntas dari itu, beliau mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang terbabit dalam rundingan kali ini supaya menjelaskan kesungguhan kerajaan Pusat memuktamadkan rundingan bersama India.

"Saya minta Mustapa Mohamed dan Noh Omar menjelaskan kepada rakyat, pergi jumpa pertubuhan-pertubuhan terbabit dan dengar pandangan mereka dulu sebelum muktamadkan semua ini.

"Jangan gadaikan kepentingan negara dan mata pencarian rakyat kalau di kalangan pemimpin kerajaan mendapat manfaat melalui langkah muktamat FTA ini," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan