Keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dilaporkan masih dalam kegeringan dan memerlukan rawatan berterusan, kata adinda baginda Tengku Mohamad.
Sehubungan itu, beliau menolak khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat negeri ini kononnya baginda kini dimasukkan semula ke sebuah hospital di negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Tengku Mohamad berkata, sebagaimana pesakit angin ahmar dan jantung, baginda memerlukan rawatan lanjut atau susulan yang berterusan.
“Tetapi baginda tidak dimasukkan ke hospital semula sebagaimana dakwaan yang mengatakan demikian,” katanya ketika dihubungiBernama semalam.
Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lalu, dan telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian; dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Tengku Mohamad menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin serta akur kepada keputusan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin lalu.
“Kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan keputusan itu dan kena akur dengan peraturan yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan," kata beliau.
Beliau juga menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa dengan pemasyhuran itu, kemelut yang melanda Istana Kelantan dianggap sudah selesai.
Sebagai anggota keluarga diraja terdekat, beliau memuji sifat kesederhanaan Tengku Muhammad Faris Petra yang dilihat sebagai raja berjiwa rakyat dan menunjukkan kecenderungan kepada agama Islam serta tidak mementingkan protokol dalam kehidupan hariannya.
“Baginda seorang kerabat yang prihatin terhadap rakyat dan sentiasa turun padang mendekati nasib rakyat jelata baginda dari dekat,” katanya.
Tengku Mohamad kesal kerana masih terdapat suara-suara sumbang mempertikaikan keputusan Majlis Perajaan Negeri berhubung pemasyhuran itu.-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan