Warga emas Islam pulangkan 'wang haram'

Lebih 40 warga emas hari ini memulangkan semula wang ehsan yang diberikan kerajaan negeri Pulau Pinang kepada mereka selepas berasa curiga dengan sumber wang tersebut.

Seorang daripada mereka, Saidin Chik, 72 berkata dia bertindak demikian selepas mendengar laporan media bahawa wang ehsan itu dipercayai datang dari sumber tidak halal.

"Pak cik terima wang RM100 dalam tahun ini, bila dengar di televisyen dan baca di akhbar yang wang berkenaan dari sumber judi, terus rasa sebak dan terkilan dengan kerajaan negeri.

"Kami tiap-tiap hari melakukan ibadat tiba-tiba dapat duit dari sumber haram dan gunakannya untuk perbelanjaan...apa jadi dengan amalan kami, kerajaan negeri tak patut buat macam ini," katanya kepada pemberita di Kepala Batas semalam.

Saidin dan kumpulan warga emas tersebut sebelum itu menyerahkan wang berkenaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Saidin yang juga seorang imam di Pulau Mertajam di Kepala Batas berkata semua mereka bertindak demikian atas kerelaan hati.

Seorang lagi penerima Rosnani Mohd Rashid, 62, berkata dia berasa lega dapat memulangkan semula wang itu dan berharap kerajaan negeri tidak mempermainkan rakyat terutama orang Islam dengan memberikan sumbangan yang berasal dari sumber haram.

Saad Akbar, 77, dari Kuala Muda pula berkata sekalipun kerajaan negeri menafikan umat Islam diberi sumbangan daripada sumber tidak halal, dia tetap berasa curiga.

Sementara itu Azhar yang juga ADUN Penaga berkata Umno menganjurkan majlis ini selepas diminta oleh warga emas sekitar kawasan parlimen Kepala Batas yang mahu memulangkan wang ehsan berkenaan.

"Bukan Umno yang suruh mereka (warga emas) bagi balik duit berkenaan sebaliknya mereka yang hubungi saya untuk minta pulangkan wang itu kerana tidak sanggup guna wang dari sumber haram," katanya.

Azhar juga berkata lebih ramai warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat dan pihaknya akan mengumpulkan semua wang tersebut sebelum menyerahkan kepada Pemuda Umno Pulau Pinang untuk dikembalikan kepada ketua menteri Lim Guan Eng.

Media baru-baru ini melaporkan Pemuda Umno negeri sebagai mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ehsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung
baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar, bukan untuk penghargaan warga emas.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan