6 Sahabat Maut Kemalangan Kereta Terbakar

Enam sahabat maut, termasuk lima rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Kampar, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 2 pagi itu lima rentung dan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu ialah pemandu kereta Lim Kar Wai, 20, Yap Heng Loong, 21, Soo Poi Wan, 18 (wanita), Wong Chee Keong, 23, dan Tang Wai Leong, 18.

"Seorang lagi mangsa wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya, meninggal dunia di Hospital Kampar jam 4.50 pagi," katanya kepada pemberita di Kampar hari ini.

Beliau berkata lima mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami kebakaran 80 peratus di badan.

Semua mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Abdul Aziz berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Lim dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampar dikatakan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebatang pokok di kanan jalan dan terbakar.

Akibat kemalangan itu, kereta Honda City berkenaan musnah terbakar dan pasukan Bomba dan Penyelamat dari sini dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan kesemua mangsa.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan