Anak kecil saksi ibu mati tergantung



POKOK SENA: Pengunjung sebuah kedai makan di sini, gempar apabila seorang wanita ditemui mati tergantung di sebuah rumah berhampiran warung itu kira-kira jam 11 pagi semalam. 


Lebih menyayat hati, anak wanita itu yang berusia tiga tahun dikatakan menjadi saksi pertama melihat ibunya tergantung sebelum memberitahu hal kejadian itu kepada bapanya. 


Sinar Harian difahamkan, sebelum kejadian itu, wanita tersebut yang berusia 34 tahun memberitahu ibunya, dia mahu keluar ke Pekan Pokok Sena. 


Ibu wanita berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan pada diri anaknya dalam pertemuan terakhir mereka. 


“Saya melihat dia berkeadaan seperti biasa, tidak ada sebarang perubahan ditunjukkan. Dia cuma beritahu, ada urusan dan mahu keluar ke Pekan Pokok Sena,” katanya. 


Seorang lagi kenalan wanita itu yang juga tidak mahu dikenali berkata, kira-kira sejam sebelum kejadian, dia melihat wanita berkenaan bertegur sapa dengan beberapa pengunjung kedai makan berhampiran rumahnya sebelum pulang. 


“Ketika itu, dia berkeadaan baik sahaja. Tidak nampak seperti dalam masalah,” katanya. 


Bagaimanapun kata lelaki itu, ketika dia bersama beberapa pengunjung lain sedang bersembang di warung, mereka dikejutkan dengan teriakan dua anak wanita tersebut memberitahu tragedi yang menimpa ibu mereka. 


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. 


Menurutnya, setakat ini, pihaknya mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan tragedi berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan