Batal perhimpunan, Pemuda PAS WP jumpa Jakim


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP) hari ini membatalkan rancangan mengadakan demontrasi membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Sebaliknya, ia memutuskan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Wilayah malam semalam, kata ketua penerangannya, Fadhil Osman. Sebelum ini, bantahan tersebut dirancang diadakan di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat hari ini.

"Hasil perbincangan, Pemuda PAS Wilayah mengambil pendekatan yang lebih bersifat untuk mendapat sokongan politik.

"Kita akan berbincang mengenai isu ini dengan Jakim. Setakat ini mereka (Jakim) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan (berhubung isu ini)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mesyuarat malam tadi juga, kata Fadhil, bercadang menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

"Memorandum itu sudah siap. Kita akan menghantar surat memohon perkenan mengadap Seri Paduka untuk menyerahkan memorandum tersebut," katanya.
Fadhil berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Jakim dan Istana Negara petang ini.
Mengulas pendirian pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata pihaknya tiada halangan asalkan isu berkenaan ditangani dengan berkesan.

Katanya, tindakan itu diambil kerana mungkin mereka beranggapan masih ramai yang belum mengetahui isu tersebut.

“Nak tukar pendekatan hantar memo kepada Jakim dan Agong kerana merasakan isu ini masih ramai belum mengetahuinya dan mereka merasakan penyerahan memo itu lebih berkesan. Itu ok. 

“Tidak mengapa dan saya setuju. Yang penting isu ini mesti ditangani secara berkesan,” kata Nasrudin dalam satu pesanan ringkas sms kepada Malaysiakini.
Semalam, Dewan Pemuda PAS pusat mengumumkan akan mengadakan bantahan secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara selepas solat Jumaat hari ini bagi membantah tindakan Rosmah yang didakwa menghina syariat Islam itu.

Nasrudin dilaporkan mendakwa tindakan Rosmah, selaku penganjur festival fesyen itu, sesuatu yang keterlaluan.

Di festival itu seorang model - yang tidak menutup aurat - telah memperagakan pakaian dengan tulisan "Muhammad" secara terbalik dalam tulisan Arab pada bahagian dadanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya membatalkan perhimpunan hari ini kerana menerima tekanan, Fadhil berkata:

"Kita tidak menerima tekanan dari mana-mana pihak. Ia adalah hasil persetujuan dalam mesyuarat malam tadi".

Katanya, pembatalan perhimpunan itu hanya di peringkat Wilayah Persekutuan sahaja.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan