Curi dadah: Polis Pahang tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya

KUANTAN: Polis Pahang sedang menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya mengenai tindakan lanjut terhadap anggota dan pegawainya yang dipercayai terlibat mencuri dadah yang dirampas di Rompin tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, pihaknya sebelum ini sudah mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang terbabit.

"Sekarang ini kita masih menunggu arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan apa-apa tindakan kita akan tunggu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan mengedar 753,359 gram dadah di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, dekat sini pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lalu setelah Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain tidak memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Katanya, mahkamah juga dimaklumkan mengenai satu laporan palsu telah dibuat oleh pengadu selain pengakuan beberapa anggota polis yang mencuri barang kes iaitu syabu seberat 40 kilogram, dan mahu mereka yang melakukan kesalahan itu didakwa.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan