Dua beradik ditekap seterika

BERTANDA... Muhammad Al- Hakim (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya Muhammad Fairuz yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas.
BERTANDA... Muhammad Al- Hakim (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya Muhammad Fairuz yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas.
PASIR MAS: Dua beradik melecur pada anggota badan mereka selepas dipercayai ditekap menggunakan seterika oleh seorang warden asrama di sebuah sekolah, di sini, pada 12 Oktober lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, mangsa terbabit, Muhammad Al Hakim, 16, dan Muhammmad Fairuz Mat Nawi, 14, melecur teruk pada tapak kaki dan lengan kiri sebelum dirujuk ke Hospital Lati, di sini, untuk rawatan.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila warden berkenaan ke asrama menempatkan mangsa bersama pelajar lain untuk mengejutkan mereka bangun daripada tidur.

Sebaik tiba di asrama itu, warden terbabit didakwa berada di sebelah katil mangsa sambil memegang seterika sebelum menekap pada anggota badan mereka.

Menurut ibu mangsa, Siti Fatimah Mat Yusof, 52, dia dikejutkan dengan kejadian itu kira-kira jam 7 malam apabila rakan anaknya membawa pulang Muhammad Fairuz ke rumah mereka di Kampung Anak Keranji, di sini.

Katanya, walaupun sebelum itu Muhammad Al Hakim pulang ke rumah terlebih dulu, dia tidak dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Saya terkejut mendapati keadaan anak saya yang melecur. Muhammad Fairuz melecur teruk pada lengan kiri manakala abangnya di tapak kaki.

“Saya tidak faham mengapa warden terbabit perlu berbuat demikian. Setahu saya seramai 11 pelajar, termasuk anak saya di asrama berkenaan turut ditekap dengan seterika,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Siti Fatimah berkata, berdasarkan apa diceritakan anaknya, warden terbabit tidak mengejutkan pelajar dengan cara sepatutnya, sebaliknya terus menekap seterika pada anggota badan mereka.

Katanya, sebelum ini juga dia mendapat tahu mengenai sikap buruk warden berkenaan yang turut menggunakan alatan lain seperti penyapu dan air sabun untuk mengejutkan pelajar daripada tidur.

“Sebelum ini memang saya tahu ada berlaku tetapi tiada laporan dibuat. Kali ini dianggap melampau kerana sanggup menyebabkan cedera parah kepada pelajar.

“Saya turut mempersoalkan mengapa pihak sekolah berdiam diri dan tidak memaklumkan kejadian ini,” katanya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, dia pernah berbincang dengan pihak sekolah tetapi diarah menarik balik laporan yang dibuat mengenai kes berkenaan.

Katanya, dia kini bercadang mengambil tindakan undang-undang bagi pihak anaknya yang kini mengalami trauma.

“Anak saya tidak mahu bercakap kerana trauma. Saya tidak puas hati dengan perkara ini dan bercadang mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan