Fitnah: Bekas SU Umno Lipis diarah bayar ADUN Padang Tengku

Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini memerintahkan bekas Setiausaha Umno Bahagian Lipis, Zulkifli Othman, membayar ganti rugi RM250,000 kepada ADUN Pahang kawasan Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed, kerana memfitnahnya dua tahun lalu. 

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir membacakan keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi dan dokumen di mana terdapat unsur-unsur fitnah dalam perkataan yang diungkap oleh Zulkifli.

Zulkifli, 54, didakwa memfitnah Abdul Rahman, 48, dengan membuat surat akuan bersumpah serta mengedarkannya menjelang pemilihan Umno Bahagian Lipis pada 2008
dengan mendakwa Abdul Rahman suka berfoya-foya dengan niat mencalarkan imej Abdul Rahman yang ketika itu bertanding jawatan Ketua Umno bahagian berkenaan.

Zulkifli sebelum ini diberikan tempoh 14 hari memohon maaf kepada Abdul Rahman tetapi enggan berbuat demikian. 

Kes berkenaan kemudiannya difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 3 Mac 2009.

Akhtar memerintahkan Zulkifli membayar RM250,000 merangkumi ganti rugi am, teladan dan teruk serta faedah lapan peratus dari tarikh keputusan hingga selesai dan kos mahkamah RM10,000.

Abdul Rahman diwakili Ahmad Nizam Hamid manakala Zulkifli diwakili Abdul Majid Md Yusof.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan