Lagi ahli perniagaan hilang ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik

KLANG: Menggemparkan apabila seorang lagi isteri ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu mengesyaki kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
SEDIH... Jayanthy  menunjukkan gambar suaminya  serta laporan polis mengenai kehilangan.
SEDIH... Jayanthy menunjukkan gambar suaminya serta laporan polis mengenai kehilangan
S Jayanthi, 34, berkata suaminya, S Anpalagan, 43, hilang sejak 4 Ogos tahun lalu dan dipercayai kali terakhir dilihat berada di Banting, Selangor untuk berjumpa rakannya.

Katanya, suaminya pergi ke Banting sehari sebelumnya untuk berjumpa seorang lagi rakan mereka, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini.


“Pada hari sama kehilangan suami, saya cuba menelefonnya namun gagal dan hanya dapat menjejaki lokasi kereta suami melalui sistem GPS yang dipasang pada kereta model Mercedes Benz milik suami.

“Kereta dijumpai di Nur Lembah Pangsun Eko Resort, Hulu Langat itu kosong dan suami saya juga tidak mendaftar masuk ke pusat peranginan berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di sini, semalam.

Bimbang dengan keselamatan suaminya, Jayanthi membuat laporan polis di Balai Bolis Bukit Sentosa, Rawang.

Dakwaan segelintir kenalannya yang mengaitkan kehilangan suaminya dengan suspek utama pembunuhan kejam itu semakin diyakini berikutan suaminya berasal dari Teluk Bunut, Banting.

“Saya tak kenal suspek tapi menurut beberapa kenalan, suami saya berkawan dengannya sejak zaman sekolah dan beberapa kali pernah dilihat berjumpa dengannya.

“Cara kehilangan suami saya yang mirip dengan semua mangsa pembunuhan itu juga menguatkan lagi sebab munasabah dia hilang,” katanya.

Menurutnya, Anpalagan mempunyai empat hektar tanah di Banting, 174 hektar ladang kelapa sawit di Rawang dan beberapa hektar tanah lagi di sekitar Ipoh, Perak dan Sungai Petani, Kedah selain sebuah syarikat kewangan dan penternakan.

“Selepas kehilangannya, saya ditipu pula oleh seorang pekerja syarikat suami saya yang memberi beberapa dokumen dipercayai dokumen tukar hak milik syarikat.

“Saya tak tahu isi kandungan dokumen itu sebab tak tahu membaca tapi selepas diyakinkan olehnya dokumen itu untuk kebaikan syarikat, saya tandatangan saja.

“Ketika dia datang menemui saya, tiada peguam bersamanya dan dia hanya memberitahu peguam yang bertanggungjawab mewakilkan dirinya untuk berjumpa saya,” katanya.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya dan Jayanthi akan menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi mereka melakukan siasatan lanjut.

“Tujuan saya hanya untuk menolong keluarga Jayanthi supaya dia mendapat semula haknya yang kini dilarang mendekati pejabat suaminya.

“Saya juga berharap polis akan menyiasat siapa peguam yang menyiapkan dokumen itu dan lihat jika ia suspek utama atau tidak, selain melakukan serbuan ke dalam pejabat itu jika perlu,” katanya.

Difahamkan, pihaknya akan menghantar memorandum itu Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi dihubungi mengesahkan laporan kes berkenaan.
KAITAN SUSPEK DENGAN KES LAIN

1) Kes kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya, 47 dan tiga yang lain.

2) Kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja Allal Kanthan dari Chennai, India.

3) Kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah dan seorang rakannya.

3) Turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan membabitkan seorang wanita yang mati ditetak di hadapan rumahnya di Banting, tahun lalu.

4) Disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang pekerja di Unit Perancangan Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), K Celladuran, 50, yang ditembak dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru, pada 8 Mac lalu.

-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan