Zolkharnain Abidin
Bilakah agaknya Mahathir akan berhenti daripada bercakap? Bukan bermaksud supaya beliau diam membisu, tetapi berhenti bercakap perkara yang tidak membawa makna lagi kepada kehidupan dirinya sendiri.
Mahathir sedar bahawa dia sudah berusia. Tidak patut orang seusianya bercakap seperti sekarang. Tidak patut lagi orang seusianya bercakap untuk memburuk sesiapa. Sepatutnya, apa yang dibuatnya berpuluh tahun lalu diinsafinya.
Mahathir patut jadi seperti Abdullah Badawi dalam perkara ini. Abdullah tidak lagi bercakap perkara yang tidak membawa makna, tidak berfaedah. Diamnya membuatkan orang tidak marah dan menyimpan apa-apa kesumat lagi kepadanya.
Mahathir sebenarnya sedar bahawa dia bukan lagi ada kuasa apa-apa. Cakapnya pun bukan berharga dan bernilai sangat melainkan bagi orang yang bertujuan mengeksploitasi cakapnya itu.
Dia boleh bercakap kerana dia memang suka bercakap dan ada pula orang yang suka dengar cakapnya. Tetapi biarlah cakapnya adalah cakap yang berpahala sedekah bukan cakap yang mengundang amarah.
Dalam hal ini Mahathir tidak bersalah sepenuhnya kerana kadang-kadang dia bercakap begitu kerana ada orang yang mahu dia bercakap begitu. Dia dijemput ke majlis-majlis yang bersifat provokatif. Dia diprovokasi dengan soalan-soalan yang mendorongnya bercakap begitu.
Sepatutnya beliau dijemput ke majlis yang bersifat ‘menginsafi diri’. Mengapa tiada yang menjemputnya ke program yang lebih bersifat kerohanian? Mudah-mudahan kalau dia diberi peluang bercakap pun dalam majlis sebegitu, dia sedar mengenai apa yang patut dia cakapkan.
Jangan biarkan dia bercakap untuk menjustifikasikan kesilapannya masa lalu. Orang tahu kesilapannya walau sehebat mana pun justifikasinya. Sepatutnya dia menginsafi kesilapan itu dan bukan berbangga dengannya.
Mahathir patut diselamatkan daripada bencana mulutnya sendiri. Dia mungkin tidak menyedari cakapnya kini membawa kebinasaan kepada dirinya. Kitalah yang patut menyedarkannya dan membimbingnya mengenai apa yang patut dan tidak patut keluar dari mulutnya.
Bagaimana caranya?
Jangan jemput dia ke majlis-majlis yang bersifat provokatif. Jangan biarkan dia bercakap tanpa tajuk dan kalau bertajuk pula, tajuknya hendaklah berunsur keinsafan dan kesedaran. Kalau dirasakan bahawa dia sukar dikawal apabila bercakap, jangan beri peluang dia bercakap.
Kita bukan ingin memperkecilkan kewibawaannya tetapi untuk menyelamatkan dirinya. Kita bimbang, apa yang dicakapkannya kini berpunca daripada kita yang memberi peluang kepadanya bercakap.
Pencuri memang bersalah tetapi tuan punya motosikal yang tidak mengunci motosikalnya dengan baik sehingga memberi peluang kepada pencuri untuk mencuri juga adalah bersalah.
Dia kini sepatutnya lebih banyak dijemput ke majlis bacaan Yaasin, merasmikan majlis musabaqah, tetamu khas forum perdana dan syarahan-syarahan agama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan