Sorok 10 tin susu dalam baju

PETALING JAYA: Sukar dipercayai apabila seorang wanita yang mencuri di pasar raya di Sungai Plong di sini, mampu menyumbat 10 tin susu tepung bayi di dalam pakaian apabila menyamar sebagai wanita mengandung ketika memasuki premis itu, malam kelmarin.

Suspek berusia 30-an itu didakwa mempunyai kebolehan luar biasa apabila mampu menyusun tin susu seberat hampir 10 kilogram berkenaan di dalam pakaiannya yang diubah suai bagi tujuan melakukan jenayah berkenaan.

Bagaimanapun, suspek yang bergerak secara berkumpulan itu melarikan diri selepas pemilik pasar raya itu yang cuba menahannya disembur cecair dipercayai bahan kimia pemedih mata.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek warga tempatan itu sebelum ini dikesan muncul di pasar raya di Sungai Plong, Sungai Buloh.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta memasuki premis berkenaan bersendirian kira-kira jam 8 malam dengan berpura-pura menyamar sebagai pelanggan yang sarat mengandung.

“Bagaimanapun pakaian yang dipakai seolah-olah baju wanita mengandung itu hanyalah topeng bagi mengaburi pemilik pasar raya yang ketika itu berada di kaunter pembayaran.

“Suspek mengambil 10 tin susu bayi sebelum memasukkannya ke dalam pakaiannya. Difahamkan, suspek memasukkan 10 tin susu seberat kira-kira 900 gram setiap satu,” katanya.

Menurutnya, suspek dengan selamba berjalan keluar dari premis itu tanpa membuat sebarang pembayaran di kaunter.

“Namun, gerak geri mencurigakan suspek diperhatikan pemilik pasar raya itu sebelum dia meluru keluar untuk mengejarnya.

“Menyedari dikejar, suspek melarikan diri bersama tin susu yang diselitkan di dalam pakaiannya. Namun, belum sempat pemilik berkenaan menangkap suspek, seorang wanita lain dipercayai rakan suspek muncul sebelum menyemburkan cecair ke arah muka mangsa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan mata mangsa pedih dan gagal melihat untuk tempoh beberapa minit.

“Kesempatan itu membolehkan suspek dan rakannya itu melarikan diri dengan menaiki kereta. Polis percaya, rakan suspek menunggu di luar premis bagi melindungi suspek dengan bersenjatakan alat pemedih mata.

“Polis masih menyiasat kes terbabit dengan terperinci dan yakin kes berkenaan mampu diselesaikan. Siasatan terhadap kes terbabit akan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan berhubung kes curi terbabit dipercayai turut dilakukan suspek di beberapa premis lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan