PETALING JAYA: Pelakon Aida Khalida mengaku bahawa bekas suami, Joe Radzwil tinggal serumah dengannya selepas disahkan bercerai talak satu pada 25 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Joe telah keluar daripada rumah tersebut kira-kira dua minggu lalu.
Menurut Aida, dia terpaksa membiarkan Joe tinggal bersama untuk memberi peluang kepeada bekas suaminya itu mencari rumah baru.
"Dah 10 tahun kami bersama, takkan saya tidak berhati perut menghalaunya keluar. Saya memberi tempoh kepada Joe untuk mencari tempat tinggal baru.
"Saya tahu ada beberapa media yang gosipkan tentang kami. Walaupun kami tinggal serumah, saya masih lagi menutup aurat, malah kami tidur belainan bilik.
"Bukankah saya sudah "berhijrah"? Perkara-perkara sebegini sudah semestinya saya titik beratkan.
"Rasanya saya tidak perlu memberitahu semua orang apa yang kami buat di rumah. Orang luar memang suka mengandaikan macam-macam hal, tetapi ia sebagai pengajaran buat kami," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Tambah Aida yang masih dalam tempoh edah, walaupun tinggal bersama, tidak pernah berlaku rujuk atau merancang untuk rujuk semula kerana keputusan (cerai) telah pun dibuat.
"Ini semua salah faham. Lagipun, bila saya balik rumah, dia tak ada dan bila dia balik rumah, saya pula yang tiada. masing-masing buat hal sendiri.
"Walaupun dia mahu kembali bersama saya dan mengajak untuk berkahwin semula, rasanya penceraian adalah yang terbaik buat kami.
"Tiada lagi perasaan sayang yang berbangkit," ujarnya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Seribu Kali Cinta.Melalui kehidupan solo semula, Aida kini lebih selesa dengan kehidupan barunya.
Baginya, ia merupakan satu rahmat yang diterima daripada Allah S.W.T untuk menjadikannya seorang wanita yang lebih tabah mengharungi kehidupan bersendirian.
"Kini hidup saya lebih positif. Walaupun penceraian itu nampak seperti buruk, ia ada kebaikannya. Kadang kala, penceraian bukanlah suatu perkara yang teruk. Saya percaya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambanya.
"Apapun, buat masa sekarang ini saya enggan berfikir tentang kahwin atau mencari teman hidup baru.
"Bagi saya, jika mempunyai seseorang untuk dijadikan suami, saya perlu menunaikan tanggungjawab saya sebagai isteri lagi sekali. Kalau pengorbanan itu dihargai, tak apa juga," ujarnya yang sedang merancang membuka perniagaan sebagai pemborong tudung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan