TV Internet kembali

MOHD. RIDZWAN IMAN 
JIKA anda masih ingat kira-kira 15 tahun lepas apabila Internet semakin terkenal di negara ini, ramai yang menyatakan tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu kerana harga komputer peribadi (PC) agak mahal untuk dimiliki oleh semua golongan masyarakat.
Maka, syarikat-syarikat elektronik berusaha menjadikan televisyen (TV) sebagai medium untuk melayari Internet kerana hampir semua penduduk di negara ini mempunyai produk tersebut di rumah.

Bagaimanapun, usaha itu tidak terlalu berjaya kerana teknologi ketika itu masih belum mampu menyuaipadankan teknologi Internet dengan TV yang seterusnya menjadi pelayaran Internet di TV agak membosankan.

Kini usaha itu kembali dengan pelbagai syarikat cuba menjadikan kembali TV sebagai medium pemaparan Internet dan menggabungkan pelbagai elemen multimedia yang lain.

Syarikat penyedia enjin pencari, Google misalnya baru-baru ini turut berusaha menyediakan platform untuk membolehkan penggunaan TV sebagai medium Internet dengan pengenalan konsep Google TV.

Melalui Google TV, pengguna boleh melayari Internet dan menonton video kegemaran, bermain permainan berformat flash di Internet, melihat foto, bersembang secara maya dan sebagainya - pada skrin TV yang besar tersebut.

Selain penyedia kandungan, Google juga mengadakan kerjasama dengan pembekal perkakasan seperti Sony yang memperkenalkan TV Internet dengan pemain Blu-Ray serta Logitech yang mengeluarkan peralatan sokongan seperti kotak set-top, papan kekunci dan alat kawalan jauh.

TV Sony

Sony baru-baru ini telah memperkenalkan TV Internetnya yang menyokong Google TV di pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan harga antara RM1,870 dan RM4,360.

Naib presiden kanan Sony bahagian perniagaan TV, Yoshihisa Ishida berkata, syarikatnya merancang untuk memperkenalkan TV tersebut di pasaran dunia jika berjaya mendapat sambutan di AS.

TV Internet tersebut boleh memaparkan program-program TV biasa dan juga mengakses laman-laman web di Internet termasuk memaparkan video dari YouTube.

Pengguna juga boleh menggunakan enjin pencari Google seperti di komputer dan pada masa yang sama boleh menonton siaran di TV seperti biasa.

Menurut Sony, kelebihan Google TV ini adalah aplikasi Internet dan mengakses siaran televisyen boleh dilakukan dengan mudah kerana ia dipancarkan selari.

Perkakasan Logitech

Bagi menyokong usaha Google, Logitech baru-baru ini telah mengumumkan syarikatnya telah memperkenalkan set produk yang membolehkan pengguna mengakses Google TV.

Set tersebut termasuk kotak set-top, papan kekunci khas, kamera definasi tinggi yang boleh diletakkan di atas televisyen HD dan aplikasi yang boleh menukar iPhone, iPad atau peranti Android menjadi alat kawalan jauh.

Pengguna yang telah melanggan perkhidmatan TV satelit atau jalur lebar boleh menyepadukan program itu dengan Google TV dan seterusnya menjadikan kesemua program itu boleh dicari dengan satu enjin pencari.

Perkakasan dikenali sebagai Revue itu akan dihubungkan melalui HDMI kepada televisyen yang juga dihubungkan kepada sistem jalur lebar dan juga siaran satelit TV.

Akses dan kawalan interaksi dengan TV tersebut boleh dilakukan menggunakan papan kekunci wayarles yang dihubungkan ke kotak set-top.

Papan kekunci itu mempunyai reka bentu QWERTY dan mempunyai pad sesentuh seperti yang terdapat pada komputer riba.

Butang-butang yang terdapat pada papan kekunci itu boleh juga mengawal televisyen, penerima audio video (AV) dan perakam video digital (DVR).

Antara fungsi menarik yang dilakukan pengguna ialah menggunakan mod dua pemaparan yang mana mereka boleh melayari Internet sementara pada masa yang sama menonton televisyen.

Penggunaan kamera TV pula akan membolehkan pengguna melakukan sidang video dengan saudara mara atau rakan-rakan mereka yang jauh.

Kotak set-top Revue yang digabungkan dengan papan kekunci akan dipasarkan dengan harga RM930, alat kawalan mini RM400 dan TV Cam dengan harga RM460.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan