'Umpan' Pilihan Raya Sudah Jelas- Penganalisis.

KUALA LUMPUR 16 OKT: Bajet 2011 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" disifatkan oleh banyak pihak sebagai 'Bajet Pilihan Raya (PRU) ke-13’.

Ini kerana menurut Pengarah Institut For Democracy And Economic Affair(IDEAS), Wan Saiful Wan Jan walaupun tidak secara jelas ia adalah bajet pilihan raya tetapi kita nampak banyak umpan-umpan yang diberikan.

"Seolah-olah nampak kerajaan hendak membiayai banyak perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat seperti pengecualian cukai, kenaikkan elaun kepada guru KAFA, Imam, Tok Batin, JKKK dan sebagainya.

"Malahan ada kenaikan sehingga 100 peratus, daripada RM450.00 sebulan sehingga RM800.00 sebulan," katanya.

Menurutnya lagi, sudah ada persediaan untuk mengadakan pilihan raya dan ini adalah usaha agar golongan yang menerima kenaikkan elaun dan sebagainya itu mungkin akan rasa terhutang budi terhadap kerajaan.

"Ini adalah taktik biasa yang digunakan oleh kerajaan menjelang tahun -tahun pilihan raya. Situasi ini menimbulkan sedikit persoalan kepada saya bila tarikh sebenar pilihan raya ini. Mungkin dalam tempoh terdekat ," ujarnya.

Ditanya berkenaan bajet kali ini juga memperlihatkan ada usaha dipihak kerajaan untuk menarik sokongan generasi muda. Beliau mengakui tindakan itu, menurutnya golongan berkenaan selama ini semakin jauh dengan kerajaan yang ada sekarang.

"Untuk itu insentif seperti pengecualian cukai duti setem kepada golongan muda yang mahu membeli rumah. Ini juga menguatkan tanggapan saya bahawa ini adalah bajet pilihan raya. Tujuannya supaya rakyat ingat dengan pemberian-pemberian ini dan apabila tiba masa untuk mengundi ia memberi kelebihan kepada pihak kerajaan," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Semalam Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula berkata, bajet yang dibentangkan Najib memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda PRU akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka," kata beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan