Ahmad Maslan menteri penuh, Khairy timbalan?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Nov: Desas desus rombakan kabinet didakwa bakal menyaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai timbalan menteri.

Sumber-sumber memaklumkan rombakan tersebut dijangka diumumkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak minggu depan atau awal bulan Disember

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan. Mereka ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Mansor (Kerja Raya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian seperti Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini Menteri Dalam Negeri dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.

Dua bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang kini Setiausaha Agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Jika ianya benar,beberapa penganalisis politik melihat ianya sebagai petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan Najib sedang memperkemas pasukannya.

Mereka tidak menolak kemungkinan PRU-13 akan diadakan tahun hadapan berasaskan BN pada waktu ini yakin mereka telah mendapat kembali sokongan rakyat.

Penanda aras paling akhir bagi mereka setakat ini adalah Pilihan Raya Kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan calon mereka.

Beberapa pihak turut mendakwa cadangan melantik Ahmad Maslan ke jawatan menteri penuh kerana "sumbangan" besarnya menjadi jurucakap dalam isu Felda.

Beliau dilihat paling menonjol membela dakwaan "salahurus" dalam Felda biarpun dalam beberapa kes mahkamah yang dimenangi peneroka.

Rombakan kabinet kali ini juga dilihat sebagai peluang terakhir bagi ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyertai kabinet sebelum pilihan raya umum akan datang.

Khairy tidak dilantik menganggotai kebinet apabila Najib mengambil alih pentadbiran April lalu, sedangkan Datuk Mukhriz Mahathir yang mencabarnya bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, mengisi jawatan timbalan menteri.

Selain itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim juga dilantik sebagai timbalan menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan